Walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, namun perang melawan COVID-19 mungkin akan berlanjutan hingga tahun hadapan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini, beliau berkata, lanjutan tempoh memerangi COVID-19 itu adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun catatan harian kes baharu COVID-19 di negara ini menunjukkan angka yang memberangsangkan, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sedang berusaha merangka strategi keluar yang terbaik untuk masyarakat apabila PKP tamat kelak.

“Masalah sekarang ialah bagaimana kita nak merancang strategi kita sampai tahun depan. Sekarang kita berjaya kurangkan kes, tapi kita tak dapat tamatkan kes. Mungkin akan jadi dalam kluster atau kes terpencil seperti kes sporadik.

“Hari ini, selain melaksanakan antibodi yang dicadangkan, kita juga membuat pemantauan terhadap kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan gejala penyakit seperti Influenza (ILI) dalam kalangan komuniti.

"Kalau bertambah maksudnya virus itu masih ada dalam komuniti. Tapi sekarang dia makin berkurangan, itu satu indikasi baik untuk kita laksanakan atau rancang untuk tindakan masa depan,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, selagi vaksin anti-COVID-19 masih tiada, selagi itu kementerian tidak akan bersikap sambil lewa.


Beliau berkata, kementerian menyarankan kepada masyarakat untuk terus mengamalkan normal baharu seperti hanya keluar dari rumah jika benar-benar perlu, elakkan menyertai sebarang perhimpunan, amalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan dan amalan kebersihan yang lain.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan, Malaysia hari ini mencatat kes baharu COVID-19 terendah iaitu sebanyak 36 kes, dan tiada kematian dicatatkan.