Tanpa melengahkan masa, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas akan mula membentangkan kes terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung dana SRC International Sdn Bhd pada Rabu dan sudah bersedia dengan tiga orang saksi pertama yang akan memberi keterangan.
Perbicaraan ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menarik balik penangguhan prosiding yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan kepada Najib yang pada 8 Feb memfailkan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan "interlocutory" untuk didengar.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, yang mengetuai panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan, berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian dan dengan itu, memerintahkan Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan.
Perbicaraan kes Najib membabitkan dana SRC itu mulanya dijadualkan berlangsung dari 12 Feb hingga 29 Mac tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Feb dan 21 Mac membenarkan penangguhkan prosiding sementara menunggu untuk mendengar rayuan-rayuan berkaitan.
Menurut sumber-sumber dari Jabatan Peguam Negara, pihak pendakwaan akan membentangkan kes dengan Thomas membacakan kenyataan pembukaan.
"Selepas itu saksi pertama akan dipanggil untuk memberi keterangan. Kami bersiap sedia dengan tiga orang saksi tetapi ia bergantung bagaimana perbicaraan berlangsung pada hari itu.
"Kami juga telah menyediakan kenyataan saksi-saksi dan selepas saksi membaca kenyataan, pihak pembelaan akan memulakan pemeriksaan balas ke atas mereka," kata sumber-sumber ketika ditanya mengenai prosiding semasa perbicaraan.
Sumber-sumber memberitahu bahawa ketiga-tiga saksi itu adalah pegawai kerajaan dan pengusaha bank yang telah disapina oleh pihak pendakwaan pada Jumaat lepas.
"Pihak pendakwaan telah menampilkan lebih 60 saksi untuk memberi keterangan dalam kandang saksi pada perbicaraan ini," kata sumber itu.
Najib, 66, perdana menteri Malaysia yang keenam, adalah perdana menteri pertama yang diheret ke mahkamah.
Pada 4 Julai, 2018, Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa, sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International berjumlah RM4 billon, telah melakukan pecah amanah jenayah sejumlah RM27 juta.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.
Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang yang sama RM42 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam dua akaunnya empat tahun lalu, milik SRC International Sdn Bhd.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Dis, 2014, dan 10 Feb, 2015.
Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.
Perbicaraan akan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Selain Thomas, pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V. Sithambaran yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya dan timbalan pendakwa raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lutfi Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan dan dibantu oleh Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Apr 01 2019

Pada 4 Julai, 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Gambar fail
10 Berita Pilihan - (22 Februari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tumpuan Ahad – 23 Februari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.

Faizal Saari umum bersara daripada hoki antarabangsa
Namun, Faizal menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.

Penantian berakhir, Selangor FC julang Piala Cabaran
Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran.
China kesan satu lagi varian baharu Koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia mampu lonjak ekonomi negara
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan.
Tambah baik peraturan makanan sedia ada
Mengambil contoh penjualan produk gummy, Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Aqilah Amalina Jaafar berpandangan, makanan itu masih lagi dijual di pelbagai platform, walaupun ia bertentangan dengan peraturan sedia.
Kerajaan lipat ganda basmi kemiskinan tegar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.
PM tegaskan tiada syarat sokong beliau jika mahu peruntukan
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak pernah menetapkan sebarang syarat yang memerlukan Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokonh beliau sekiranya mahu mendapat peruntukan.
Kerajaan Persekutuan adakan perbincangan dengan Sarawak
Kerajaan Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sarawak bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Perbicaraan Najib berhubung dana SRC bermula Rabu, tiga saksi dijangka beri keterangan
Perbicaraan ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menarik balik penangguhan prosiding yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan kepada Najib.