Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, komuniti global perlu membantu Australia dalam menangani kebakaran hutan yang telah memusnahkan kawasan yang luas di negara itu.

Beliau berkata, kebakaran yang membadai Australia bukanlah semata-mata urusan bersendirian Australia.

"Malah ia menjejas keseluruhan dunia. Ia satu bencana antarabangsa," katanya menerusi hantaran dalam laman blognya, Chedet, hari ini.

"Seluruh dunia perlu membantu Australia memadamkan kebakaran itu," kata Dr Mahathir, dan menambah bahawa malangnya, perkara ini tidak dilakukan.

Malaysia telah menawar untuk menghantar pasukan pemadamnya ke Australia bagi membantu menangani krisis kebakaran hutan itu. Sejumlah negara telah pun mula membantu Australia dalam usaha memadamkan kebakaran itu.

Adalah dilaporkan lebih 7.3 juta hektar hutan terbakar melibatkan enam negeri di Australia dengan New South Wales dilaporkan mengalami keadaan yang paling teruk.

Manakala sekurang-kurangnya 28 orang di seluruh Australia terbunuh dalam kebakaran yang disifatkan sebagai kebakaran hutan paling teruk dalam beberapa abad ini.

-- BERNAMA