Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organisation (WAO), pada awal April sahaja, sebanyak 264 panggilan dan pertanyaan di aplikasi WhatsApp diterima melalui talian bantuan KRT dan perkhidmatan TINA.
Apa yang lebih membimbangkan apabila kebergantungan mangsa kepada pendera boleh memburukkan lagi situasi ini yang akhirnya 'mengunci' mulut mangsa untuk mendapatkan pertolongan.
Namun, apakah langkah-langkah yang terbaik dan selamat sekiranya anda ‘terperangkap’ dalam situasi sebegini?
BACA: 135 aduan keganasan rumah tangga diterima sepanjang PKP
Memetik garis panduan yang disarankan WAO, berikut empat pilihan bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga.
Pilihan pertama memberi ruang kepada mangsa untuk mendapatkan nasihat, tip untuk mengetahui pilihan-pilihan lain serta menetapkan jadual untuk sesi rundingan secara depan-depan.
Selain mendapatkan perlindungan dengan WAO, mangsa juga boleh mendapatkan pertolongan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital-hospital kerajaan yang terletak di wad kecemasan dan trauma.
Laporan polis juga boleh dibuat di hospital berkenaan. Difahamkan, di OSCC, doktor akan memberi rawatan untuk sebarang kecederaan dan juga akan mengumpul bukti yang boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.
Pilihan ketiga pula adalah mangsa boleh merujuk kepada Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ia merupakan suatu perintah yang boleh dimohon oleh mangsa pada bila-bila masa dan terpakai dalam takrif keganasan rumah tangga di bawah Seksyen 2, Akta 521.
Pemandiri perlu membawa kad pengenalan atau sijil kelahiran dan tidak perlu membuat laporan polis untuk mendapatkan EPO yang sah selama tempoh tujuh hari itu.
Pilihan lain termasuk membuat laporan polis dan membuat permohonan Perintah Perlindungan Interim di mana-mana balai polis berdekatan.
Bagi laporan tersebut, mangsa perlu memberi keterangan tentang penderaan itu seperti apakah yang berlaku, bila ia berlaku (tarikh dan masa), lokasi kejadian dan siapa yang terlibat.
Selain itu, sokongan emosi psikososial juga boleh didapati menerusi inisiatif kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19.
BACA: PKP: Sokongan emosi berdepan ketidaktentuan, ini senarai talian psikososial
Selain pilihan yang sudah dinyatakan, pemandiri juga perlu bijak dalam membuat sebarang tindakan untuk menyelamatkan diri mereka.
Ini merupakan antara perkara penting dalam persiapan menyelamatkan diri iaitu sebelum, semasa dan selepas.
Sebelum meninggalkan lokasi
- Simpan bahan bukti penderaan seperti gambar-gambar anggota yang tercedera.
- Pastikan telefon bimbit anda mempunyai baki kredit yang mencukupi dan simpan nombor-nombor talian yang anda tahu.
- Sediakan satu beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting.
- Pastikan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu, sijil kelahiran, kad kredit, buku akaun bank sentiasa ada bersama anda
- Selain ubat-ubatan dan duit kecemasan, pastikan anda membawa dokumen sah seperti sijil perkahwinan, dokumen cerai dan penjagaan, rekod perubatan serta insuran perlindungan diri dan kesihatan.
- Tukar kata kunci telefon dan nombor telefon.
- Sekiranya bekerja, tukar waktu anda bekerja dan gunakan jalan berbeza untuk ke tempat kerja.
- Maklumkan perkara itu kepada jiran dan minta mereka membuat laporan polis sekiranya anda berasa tidak selamat.
- Elakkan pergi ke kedai atau lokasi anda bersosial yang sama sebelum ini.
BACA: Mengapa kes keganasan rumah tangga meningkat semasa PKP?
BACA: COVID-19: Keganasan rumah tangga meningkat sejak wabak tercetus - PBB
*Sumber: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)