Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuannya dengan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan.

Ahli parlimen Marang itu berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.

Abdul Hadi berkata, pertemuan mendapat reaksi positif perdana menteri.

“Pertemuan lebih membincangkan pada penyelarasan untuk Kerajaan Negeri dan Pusat. (Berhubung) royalti (Petroleum), isu ekonomi negara, projek-projek Kerajaan Pusat dan Negeri supaya tidak ada pencanggahan. Mahu betul turun (membantu) rakyat, (perbincangan) lebih pada pentadbiran,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina DUN Alur Limbat di sini pada Jumaat petang.


Maklum Abdul Hadi lagi, pada tahun lalu kerajaan negeri Terengganu telah memperolehi wang tunai petroleum tersebut.

“Yang 2018 (WTP) sudah dibayar, cuma dipotong hutang. Yang selebihnya Kerajaan Persekutuan potong beberapa peratus. Saya tidak ingat. Yang peliknya Sabah dan Sarawak tidak dipotong hutang, mengapa kita Terengganu dan Kelantan dipotong hutang? dan Kelantan belum selesai dibayar kerana ada berkait dengan mahkamah dan akan dibincangkan,” katanya lagi.

Pada Jumaat Hadi mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir di Yayasan Al-Bukhary di ibu negara kira-kira jam 9 pagi.

Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

BACA: Ketika PH akan bertarung dengan UMNO dan Pas, Abdul Hadi jumpa PM

Ini merupakan kali kedua Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir selepas pertemuan pertama sebaik Pakatan Harapan membentuk kerajaan tahun lalu.

Sementara itu ketika mengulas PRK Semenyih, Abdul Hadi berkata berbeza dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana faktor parti yang bertanding.

"Cuma lainnya Semenyih ini lain daripada Cameron. Di Cameron PAS lawan DAP.

"Di Semenyih ini, bukan nak cakap perkauman, tapi Melayu lawan Melayu," katanya lagi.

Ditanya adakah PAS akan membantu Barisan Nasional di PRK Semenyih, Abdul Hadi berkata pihaknya akan mendapat maklumat lanjut dari PAS Selangor.

"Apa yang penting kita mahu kedudukan orang Melayu dan Islam kuat dalam kerajaan," katanya lagi.