Menurut Tamam, Ahmad Hawari yang menghubunginya kira-kira jam 11 malam semalam turut memaklumkan identiti individu yang memukulnya.
"Dia telefon saya dalam jam 11 malam (Jumaat) dan menurutnya dia telah dipukul dan perutnya sakit. Saya tanya siapa, kemudian dia beritahu siapa.
"Jadi dia kata ambulan sudah dipanggil... selepas itu dia rasa sakit, dia tak dapat jawab lagi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Tamam berkata, pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah melakukan dua pembedahan terhadap Ahmad Hawari susulan daripada kejadian itu.
"Doktor beritahu, dia ada luka di bahagian perut dan diafragma dan doktor minta izin anak (kakak Ahmad Hawari yang enggan dikenali) oleh kerana saya belum datang (dari Sarawak).
"Doktor buat pembedahan dan mereka nampak ada pendarahan. Kami sekali lagi beri kebenaran untuk melakukan pembedahan di paru-paru," katanya.
Menceritakan sifat peribadi Ahmad Hawari, Tamam berkata, anak bongsunya itu seorang yang pendiam dan selalu bersendirian.
Sementara itu, bapa Ahmad Hawari, Zakaria Abdullah sempat berjumpa anaknya yang berada dalam keadaan separuh sedar di Unit Rawatan Rapi HKL.
BACA: Petugas Astro AWANI parah ditikam
"Saya sempat tengok dia dan dia macam sedikit emosi. Saya cakap kepada jururawat yang Hawari dengar dan dia emosi sikit... nampak air mata dia mengalir," ujar Zakaria yang datang dari Sarawak bersama isterinya, Tamam.
Seorang kakitangan Astro AWANI dilaporkan parah ditikam oleh seorang lelaki malam tadi.
Mangsa, berusia, 33 tahun yang bertugas sebagai pengurus pentas ditikam di bahagian perut dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata dalam kejadian di Jalan Usahawan, mangsa dipukul oleh tujuh orang lelaki.
Susulan kakitangan Astro AWANI parah ditikam