Rakyat Malaysia hari ini menghadapi masalah yang meruncing seperti kos sara hidup dan pendapatan rendah kerana faktor struktur, kata Dr Yusof Saari.

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, masalah struktur tidak boleh diselesaikan dalam masa satu malam atau satu tahun.

"Apa yang kita nak buat hari ni, kesannya dalam dua, tiga tahun akan datang baru kita nampak.

"Sekarang ini kita masih lagi dalam tahun pertama. Kita masih lagi terkesan dengan dasar-dasar dua, tiga tahun yang lepas,” katanya selaku penganalisis ketika ditemubual dalam Program Khas Menjelang Setahun Malaysia Baharu di Astro AWANI.

Katanya, jika rakyat mahu menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang, mereka perlu menilai berdasarkan perkara yang asas sahaja.

Nilai asas itu termasuk dari segi polisi dan dasar yang didokumenkan.

Namun begitu, kata Yusof, keberkesanannya hanya boleh dilihat dalam jangka masa dua hingga tiga tahun akan datang.

"Kita jangan terarah kepada satu dasar bersifat makro, nak ubah struktur apa semua. Kita boleh mula daripada mikro, bottom-up (dari bawah ke atas). Sistem sekarang ini top-down (dari atas ke bawah).

"Contohnya, dalam kes pendokumentasian Kertas Putih Felda. Implementasinya mungkin dapat dirasai dalam jangka masa dua, tiga tahun lagi," tambahnya.



Pensyarah kanan itu turut menggesa kerajaan untuk lebih berfokus kepada perkara-perkara asas, contohnya seperti peranan Felda dalam mengeluarkan produknya sendiri serta memasarkannya dengan harga yang lebih murah.

Perkara ini sekali gus dapat membantu mengawal kos sara hidup yang tinggi, kata Yusof.

Isu-isu mikro seperti ini lebih dekat dengan rakyat, katanya, sambil menambah, dengan perkara inilah rakyat akan mampu menilai sama ada kerajaan berjaya menstrukturkan semula kepimpinan.

Justeru, tegasnya, kerajaan harus menyenaraikan perkara mikro yang telah dilaksanakan supaya rakyat mengetahui apa yang telah pihak kerajaan rancangkan untuk mereka.

"Iltizam itu penting dan kita memerlukan satu keputusan yang agak cepat, dan keputusan yang, bagi saya, memberi implikasi yang baik kepada masyarakat,” kata Yusof.