Tindakan peserta Bersih 4 yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan itu berlangsung hujung minggu lepas mendatangkan kemarahan rakyat terutama penyokong kedua-dua parti itu.

Pengerusi Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, pihak polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Bersih 4 kerana gagal mengawal sikap peserta yang hadir pada perhimpunan yang tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

"Kami membuat laporan polis setelah melihat gambar yang disebarkan di media sosial. Kita juga mahu penganjur dikenakan hukuman kerana gagal mengawal peserta perhimpunan tempoh hari.

"Tindakan memijak gambar Najib dan Abdul Hadi boleh mendatangkan kemarahan rakyat serta penyokong kedua-dua parti politik baik UMNO dan PAS.

"Seterusnya boleh merosakkan perpaduan dalam negara yang akan mendatangkan kegusaran dan boleh menyebabkan ketegangan kaum pada rakyat seluruh negara," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini hari ini.


Armand dan Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan mengenai peserta Bersih 4 yang memijak gambar pemimin di Balai Polis Dang Wangi - Sumber gambar Armand

Perbuatan beberapa individu yang melakukan aksi memijak gambar Najib dan Abdul Hadi dirakamkan semasa perhimpunan itu dan mula menjadi viral setelah disebarkann di media sosial.

Dalam pada itu, Armand berkata penganjur Bersih 4 perlu dihukum kerana ini bukan kesalahan pertama mereka mengganggu ketenteraman awam.

"Saya mohon mereka disiasat dan polis harus mengambil kira ini bukan kesalahan pertama," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armand turut membuat satu lagi laporan polis terhadap penulis blog kontroversi, Alvin Tan yang membuat ugutan untuk merogol anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Nurulhidayah Ahmad Zahid.

"Kenyataan Alvin berunsurkan hasutan kepada orang ramai," ujarnya.

Nurulhidayah sebelum ini dilaporkan membalas komen-komen segelintir rakyat Malaysia yang mengkritik kenyataannya menyelar perhimpunan Bersih 4 sebagai 'kerja bodoh'.

Melalui akaun Instagramnya, Nurulhidayah berkata; "Saya bukan ahli Parlimen di kawasan anda ataupun wakil rakyat anda. Saya warganegara Malaysia yang juga ada hak bersuara."