Jenazah tiga beradik yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu pada Ahad, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, Rantau Panjang, Kelantan di sini petang tadi.

Terdahulu jenazah tiga beradik yang tiba sekitar jam 6.10 petang di Masjid Kampung Rahmat disolatkan oleh lebih 300 tetamu dan sanak saudara.

Jenazah Nurain Fatma Zawawi, 10, diletakkan di tepi sebelah kiri, Nurain Sofia, 8, di sebelah kanan manakala adiknya yang bongsu Nurain Sasabila, 6, diletakkan di tengah.

BACA:
"Semua anak pergi sekelip mata..." - Bapa tiga beradik lemas



Bapa tiga beradik, Zawawi Wahab, 42, turut turun ke liang lahad manakala ibu mereka, Nur Syahida Abdullah, 36, berada di atas memerhatikan ketiga-tiga anak mereka diturunkan ke liang lahad.


Foto Astro AWANI

Sementara itu datuk kepada tiga beradik ini, Wahab Mat Adam memaklumkan kali terakhir menemui cucunya jumaat lalu sewaktu mereka baru pulang bercuti dari Hatyai, Thailand.


Katanya, kesemua cucunya itu semenangnya amat rapat dengannya bahkan sering kali mengunjunginya.

Foto Astro AWANI


Dalam kejadian sekitar jam 5 petang semalam, tiga beradik beradik itu lemas selepas dipukul ombak besar di Pantai Sura, Dungun sebelum menariknya ke dalam laut.

Kesemua tiga beradik kemudiannya ditemukan lemas pagi Isnin.