Tidak menjadi masalah kepada penjawat awam untuk menerima gaji bersih (take-home pay) kurang daripada 40 peratus lantaran menanggung pinjaman perumahan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berpandangan pemilikan aset seperti rumah yang harganya semakin melambung tinggi menjadi keperluan terdesak kepada penjawat awam kini.

Sebelum ini, penjawat awam diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus gaji bersih daripada emolumen bulanan yang diterima mereka. - Foto Fail
Tegasnya, mana-mana pihak tidak perlu mengkritik mahupun bimbang terhadap tindakan penjawat awam yang memilih untuk menambah hutang mereka semata-mata bagi pemilikan aset pertama, rumah idaman.

"Mereka yang bimbang itu tidak ada kena mengena (dengan penjawat awam yang berhutang). Diakah yang akan beri bantuan atau membiayai makan minum penjawat awam? Kita tidak menerima pakai (pandangan itu). Pada Cuepacs, tindakan ini tidak betul.

"Mereka (pihak ketiga) tidak jaga pun kebajikan dan tidak ambil tahu apa yang berlaku kepada orang berpendapatan rendah. Jika disekat (beli rumah) sekarang, pada masa akan datang, adakah penjawat awam mampu membeli rumah? Harga rumah setahun meningkat berapa peratus? Gaji penjawat awam meningkat berapa peratus?


"Sebab itu kita (Cuepacs) mahu peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin dan dengan cara ini, pandailah dia (penjawat awam) nak hidup. Ulat dalam batu pun pandai hidup.

"Kalau hari ini tidak ada rumah, orang yang mengadu ini nak bagi rumah? Tak ada, tak nampak pun. Pandai mengadu sahaja tetapi tidak tahu cara untuk bantu orang susah ni," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk mengecualikan pengiraan pinjaman perumahan dalam pendapatan bersih penjawat awam bagi menggalakkan pemilikan rumah.

Cuepacs menasihati penjawat awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pinjaman sekaligus meningkatkan kadar keberhutangan yang akhirnya akan menjerut diri sendiri. - Foto Fail
Mengakui kadar keberhutangan penjawat awam akan meningkat lantaran pinjaman perumahan, Azih menegaskan ia bukan berpunca akibat pembelian aset seperti rumah.

"Untuk belian runcit, pinjaman bank, koperasi, dan kad kredit, ini masih lagi terikat dengan pengiraan 60 peratus gaji.

"Banyak kebankrapan ini berlaku di mana dia (penjawat awam) menjamin orang, membeli kenderaan, pinjaman (pembelian ansuran mudah) selain menggunakan kad kredit di luar kemampuan," ujarnya.

BACA: Lebih 49 ribu penjawat awam berdepan risiko muflis - Cuepacs

Justeru, beliau menasihati penjawat awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pinjaman sekali gus meningkatkan kadar keberhutangan yang akhirnya akan menjerut diri sendiri.

Malah, beliau mahu penjawat awam bijak dalam membuat perancangan kewangan termasuk memilih jenis-jenis pinjaman, pembelian dan pelaburan yang dasarnya akan memberi keuntungan semula kepada mereka.


Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), kes kebankrapan dalam kalangan penjawat awam meningkat daripada 606 orang pada 2013 kepada 1,093 orang pada 2016.

Malah, statistik itu seiring dengan laporan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang menunjukkan 61,726 penjawat awam menerima pendapatan bersih kurang 40 peratus daripada emolumen bulanan.

Mengikut laporan tersebut, pinjaman peribadi dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menjadi penyumbang terbesar kepada hutang penjawat awam.