PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos.

Ini bermakna perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dijangkakan lebuh raya dan jalan-jalan utama akan sesak pada hujung minggu ini kerana orang ramai pulang ke kampung setelah sekian lama tidak menjenguk ibu bapa.

Namun, ada kekeliruan yang perlu diperjelaskan. PKPP bukanlah bererti kita telah bebas daripada wabak COVID-19.

Ia adalah satu langkah yang membenarkan kita melakukan perkara-perkara yang sebelum ini terhalang, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP).

Selagi vaksin penawar virus SARS-CoV-2 penyebab penyakit COVID-19 belum ditemui, kita perlu patuh dan berasimilasi dengan norma-norma baru dalam menjalani aktiviti seharian.

Ada dua golongan yang perlu kita pertahankan daripada jangkitan COVID-19 ini, pertama, mereka yang berumur lebih 60 tahun dan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Kita khuatir tahap kesihatan mereka merudum jika dijangkiti penyakit COVID-19.

Memandangkan ramai yang merancang untuk balik kampung, pertimbangkanlah enam perkara ini sebelum bertolak dan ketika berada di kampung.




Pertama

Pastikan diri kita bebas daripada gejala COVID-19. Memanglah yang terbaik adalah melakukan ujian COVID-19 tetapi ia akan menelan belanja yang agak besar.

Oleh kerana itu, perlu memastikan diri bebas daripada gejala COVID-19 selama 14 hari sebelum pulang ke kampung adalah langkah yang baik.

Kebolehan untuk menjangkitkan virus penyebab COVID-19 kepada orang lain semakin rendah apabila kita tiada gejala.

Gejala penyakit COVID-19 adalah;

I. Demam

II. Sakit tekak

III. Batuk

IV. Selesema

V. Sesak nafas

VI. Kurang deria bau

VII. Muntah-muntah

VIII. Cirit-birit

IX. Lemah anggota badan


Kedua

Buatlah penggiliran sesama adik-beradik yang mahu pulang ke kampung.

Selain untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi, ini juga akan memastikan ada sahaja ahli keluarga bersama ibu bapa pada setiap hujung minggu.

Jika adik-beradik pulang ke kampung pada satu masa yang sama, ibu bapa akan rasa kekosongan pada hujung minggu yang lain.


Ketiga

Ketika berada di jalan raya pastikan peraturan dipatuhi. Jangan memandu laju atau menunggang secara berbahaya.

Patuhi had laju yang dibenarkan. Beri isyarat kenderaan sebelum menukar lorong.

Pakai tali pinggang keledar dan topi keledar. Pastikan menggunakan tempat duduk kereta kanak-kanak (child car seat) jika ada kanak-kanak kecil dalam kenderaan.




Keempat

Perkara pertama yang perlu dilakukan ketika mula sampai di rumah ibu bapa adalah paling minimum membasuh tangan terlebih dahulu.

Itupun jika kita menaiki kenderaan dari rumah sendiri terus ke rumah ibu bapa.

Jika kita menaiki kenderaan awam, pastikan ada penjarakan sosial dalam kenderaan dan memakai pelitup muka.

Mandi mungkin pilihan yang lebih baik. Paling penting jangan terus mendakap ibu bapa sebelum kita membersihkan tangan atau diri terlebih dahulu.


Kelima

Pohon cakna kesihatan ibu bapa ketika menziarahi mereka. Bertanyalah khabar sama ada ibu bapa makan ubat-ubatan secara berkala seperti diarahkan doktor.

Pastikan juga jika mereka terlepas janji temu di klinik atau hospital. Dapatkan janji temu baharu sekiranya sudah terlepas.

Mungkin dengan pemberian penganjur kotak ubat (medicine box organizer) sebagai hadiah, membantu ibu bapa yang sering terlupa tentang pengambilan ubat.


Keenam

Elakkan membawa ibu bapa ke tempat yang sesak dan ramai orang. Contohnya, jika ibu bapa teringinkan sesuatu makanan di restoran, maka beli bungkus dan makanlah di rumah. Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko ibu bapa kita dijangkiti COVID-19.

Akhir kalam, PKPP bukanlah penamat kepada peperangan memerangi COVID-19.

Ini adalah fasa pemulihan. Pemulihan agar kita terbiasa dengan norma baharu pasca COVID-19 nanti.

Ini juga fasa pemulihan ekonomi negara. Pastikan kita patuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Elakkan 3C iaitu tempat sesak (Crowded places), tempat tertutup (Confined spaces) dan bercakap jarak dekat (Close conversation) dan amalkan 3W, mencuci tangan dengan sabun (Wash), pakai pelitup muka di tempat awam/jika bergejala (Wear) dan amaran peringatan daripada KKM (Warn).





* Dr Sazwan Reezal Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy).

** Beliau boleh diikuti di YouTube melalui SazOne Channel dan di Twitter melalui @drwaque. Beliau memberikan informasi kesihatan di kedua-dua media sosial ini.

*** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.