Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kewujudan dua syarikat yang didakwa milik Korea Utara di negara ini yang dilaporkan mengendalikan perniagaan senjata.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata syarikat terbabit ialah International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd.

Katanya, International Global System Sdn Bhd didaftar pada tahun 2005 dan mengendalikan perniagaan multimedia, elektronik serta perdagangan.

International Golden Services Sdn Bhd, katanya, didaftar pada 2012 dan mengendalikan perniagaan teknologi maklumat serta produk teknologi telekomunikasi.

"Berdasarkan laporan media antarabangsa semalam, saya menafikan syarikat itu kononnya dikawal ejen perisikan Korea Utara dengan nama Glocom.

"Berdasarkan laman web glocom.com.my yang didaftar pada 2009, ia didaftar oleh syarikat International Global System Sdn Bhd.

"Mengikut laman web itu juga, International Golden Services Sdn Bhd bertindak sebagai syarikat yang boleh dihubungi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walaubagaimanapun, Khalid memberitahu siasatan awal mendapati kedua-dua syarikat itu kini dalam proses ditutup.

Katanya, PDRM sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan Malaysia tidak digunakan sebagai lokasi melaksanakan aktiviti yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Pada Isnin, agensi berita antarabangsa Reuters dalam laporannya mendakwa, Glocom adalah syarikat dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio tempur.

Katanya, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi tentera dan separa tentera di laman web miliknya di Malaysia, glocom.com.my. Reuters yang memetik laporan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, urus niaga syarikat itu melanggar sekatan PBB.