Bom terbabit ditemui di sebuah bilik di tingkat 17 kondominium terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata sebelum itu hasil maklumat dan risikan pasukan khas dari Bukit Aman, mereka bertindak menyerbu kondominium terbabit pada pukul 4.30 pagi.
Hasil pemeriksaan, menemui lima unit bom buatan sendiri jenis atau IED dan dadah syabu serta cecair ecstacy di unit terbabit.
Dua suspek yang dipercayai warga tempatan bagaimanapun berjaya meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis.
"Hasil pemeriksaan polis di dalam rumah itu terdapat lima butir bom buatan sendiri, bahan-bahan litar elektrik serta belerang yang digunakan untuk membuat bom.
"Polis turut menemukan kotak berwarna hitam berisi sejumlah dadah jenis syabu serta pil ekstasi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Bom yang ditemui kemudiannya dipindahkan ke kawasan yang selamat untuk dilupuskan.
Beliau berkata sebelum itu 200 penduduk telah diarahkan mengosongkan bangunan kondominium terbabit bagi langkah keselamatan.
Kesemua bom berkenaan kemudiannya dimusnahkan di sebuah kawasan kuari di Flora Damansara, kira-kira dua kilometer daripada lokasi bom ditemui jam 12 tengah hari tadi.
Motif bahan letupan itu dibuat masih disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.