Presiden Indonesia Joko Widodo selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.50 petang tadi bagi memulakan lawatan rasmi beliau ke negara ini.

Beliau yang diiringi isteri, Iriana Joko Widodo, telah diberi sambutan negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama menteri-menteri kabinet dan duta-duta luar negara di Malaysia.

Delegasi tertinggi republik tersebut turut disertai menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara, Negaraku dan Indonesia Raya dimainkan, Joko Widodo atau Jokowi telah menyempurnakan upacara perbarisan kehormat di pekarangan Kompleks Bunga Raya KLIA.

Jokowi lawat Malaysia
Presiden Indonesia Joko Widodo sedang memeriksa barisan ketika upacara perbarisan kehormat di pekarangan Kompleks Bunga Raya KLIA.- Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

LIHAT GALERI FOTO KETIBAAN JOKOWI

Pada malam ini, Jokowi akan diraikan dalam Majlis Santapan Negara di Istana Negara manakala esok beliau dijadual mengadakan Mesyuarat Terhad dengan Najib diikuti dengan Mesyuarat Delegasi.

Jokowi juga dijadual melawat kilang Proton bagi meninjau peluang kerjasama di antara kedua-dua negara dalam bidang automotif.

Lawatan rasmi selama tiga hari itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala antara dua negara selain menjadi kesempatan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global.

Indonesia adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN. Jumlah perdagangan dua hala kedua negara pada tahun 2013 adalah sebanyak RM61.1 bilion dan untuk tempoh Januari hingga November 2014 adalah sebanyak RM54.7 bilion.