Itulah gesaan pelukis terkenal Saiful Razman Mohd Kassim atau lebih dikenali sebagai Saiful Razman dalam Facebook miliknya.
Gesaan itu dibuat susulan perobohan arca Puncak Purnama (Lunar Peaks) karya seniman terkemuka Datuk Syed Ahmad Jamal yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman petang semalam.
BACA: Tindakan DBKL roboh arca Puncak Purnama dikecam
Pelukis lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari UiTM itu cukup kecewa dengan tindakan tersebut dan menggesa para seniman tanah air membuat laporan polis agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Pelukis yang dikenali menerusi Siri Pelan Cap itu turut memuat naik salinan laporan polis yang dibuat olehnya di Pondok Polis Jalan Telawi, Bangsar pada pukul 4 petang tadi.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya berbincang terlebih dahulu mengenai sebarang tindakan terhadap karya seni tempatan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadzir Lokman, perobohan berkenaan dimaklumkan oleh anak Allahyarham Syed Ahmad Jamal, Syed Nabil Jamal.
Jelasnya, arca yang dibina pada tahun 1986 itu salah satu mercu tanda negara dan keputusan meroboh ikon negara bukan keputusan tepat.
Arca tersebut jadi tajuk berita utama pada tahun 2010 apabila Datuk Syed Ahmad Jamal menenangi kes tuntutan saman ke atas DBKL yang telah melakukan pengubahsuaian tanpa persetujuannya sebagai tuntutan bagi teladan dan gantirugi hakcipta.
Pada Jumaat, Komuniti Kurator Tanahair telah memuatnaik kerja-kerja perobohan dua bangunan arca Puncak Purnama tersebut.
Video rakaman perobohan tersebut telah mencetuskan kemarahan komuniti seni tanah air.