Pihak SPRM juga masih menunggu panggilan daripada pihak polis untuk membuka kertas siasatan dan urusan-urusan yang berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, ada di antara pendedahan itu boleh disiasat oleh SPRM sendiri dan ada juga yang boleh disiasat oleh pihak polis.
“Sebenarnya kita dah serah the first round, kita akan kerjasama, kita tunggu pihak polis untuk memanggil, untuk membuka kertas siasatan dan sebagainya.
“Sudah tentu apa yang kami dedahkan perlu disiasat dan kami telah memaklumkan kepada pihak polis, kerana mereka perlu memulakan siasatan.
“Dalam pendedahan itu, seperti yang anda tahu sebagaimana yang kami beritahu dalam sidang media itu ada beberapa elemen kesalahan yang mana pihak SPRM pun boleh siasat dan pihak polis pun boleh siasat. Jadi, kami kena serahkan ia kepada pihak berkuasa,” katanya pada Khamis, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakil Datuk Seri Najib Razak bahawa pendedahan itu subjudis dan menghina mahkamah, Latheefa berkata, sesiapa sahaja berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
Pada Rabu, SPRM menyiarkan sembilan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan Najib dengan beberapa pihak lain.