Teluk Batik, Teluk Senangin, Teluk Muroh, Teluk Rubiah dan Pantai Remis.

Sesetengah nama itu mungkin asing dengan masyarakat sekarang, namun ramai yang tidak menyedari pantai di Lumut, Perak tersebut merupakan pusat peranginan yang pernah sinonim dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, Pulau Pangkor.

Namun atas nama pembangunan, pertahanan kemurniaan alam sekitar diketepikan.

Satu persatu projek mega dibangunkan, tidak siapa peduli rintihan alam sekitar akibat kerakusan manusia yang mengejar pulangan berganda untuk kepentingan sendiri.

Itu realitinya.


Lumut
Projek mega

Jika ditanya generasi kini, mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan Teluk Rubiah.

Satu ketika dahulu, Teluk Rubiah menjadi magnet pengunjung yang cintakan pantai dari pelusuk tanahair. Dilengkapi dengan kemudahan asas, pantai bersih dan pasir putihnya tidak pernah mengecewakan pelawat.

Projek transit bijih besi untuk pengedaran di Teluk Rubiah yang terletak berhampiran Teluk Batik di Lumut. - Sumber foto Progesys
Namun, ia ditutup sepenuhnya kepada awam pada Oktober 2010 selepas ia dijual kepada sebuah syarikat berpangkalan di Brazil untuk projek transit bijih besi untuk diedarkan ke tempat lain.

Selain projek mega Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd, jajaran projek lain akan turut dijalankan di kawasan-kawasan berdekatan.

Marina Island mempunyai sebuah kompleks jeti kePulau Pangkor, penambakan kawasan pantai di Teluk Muroh seluas 316.9 ekar itu turut merangkumi lot-lot rumah kedai dan kawasan perumahan elit.

Namun, aduhai seribu kali sayang.

Projek bernilai RM1 bilion itu jika dilihat hanya hidup kerana jeti untuk ke Pulau Pangkor yang hanya mengambil masa 10 minit berbanding 40 minit berbanding jeti di Lumut.

Selebihnya, kawasan itu seakan mati, terutamanya pada waktu malam meskipun ia telah beroperasi sepenuhnya sejak 2013.

Teluk Muroh
Projek baharu

Pantai Teluk Muroh terus ditambak secara rakus.

Selepas projek Marina, satu lagi projek akan dibangunkan.

Projek penambakan pantai bernilai RM38 juta itu dilapor sebagai inisiatif kerajaan negeri yang mahu masalah penempatan setinggan melibatkan nelayan di kawasan berkenaan diselesaikan.

Penambakan projek seluas 44 ekar itu bermula April tahun ini dan dijangka siap pada pertengahan 2017.

Pantai Teluk Muroh antara lokasi menarik untuk mencari hasil laut seperti kerang, kepah dan remis.

Antara lain, ia adalah lokasi paling indah untuk menikmati pemandangan matahari terbenam selain tempat untuk nelayan pantai menambat bot mereka.

Cuma kelak, apabila lengkap projek tersebut, tiada lagi pemandangan indah, tiada lagi riuh-rendah nelayan dan penduduk tempatan mengutip kepah dan kerang. Selain dari menambah pendapatan, aktiviti ini dianggap sebagai riadah untuk penduduk tempatan.

Teluk Muroh
Kemusnahan alam sekitar

Dengan kepelbagaian pembangunan 'demi rakyat' apakah tidak terfikir apa nasib alam sekitar?

Hutan paya bakau contohnya.

Apa kesan kepada pengukuhan ekosistem di situ?

Hutan paya bakau menyumbang kepada ekonomi dengan sumber lautnya yang kaya serta kayu bermutu tinggi, selain menyelamatkan harta benda dan nyawa dengan menghalang proses hakisan pantai dan menapis bahan cemar dari laut.

Selain itu, pastinya pencemaran kepada laut.

Sisa-sisa pembangunan pastinya memberi kesan kepada ekologi laut.

Pastinya terumbu karang, siput dan hidupan laut menerima impak yang negatif.

Apabila pantai ditambak, tiada lagi kerang, tiada lagi kepah, tiada lagi remis yang biasanya dikutip penduduk tempatan.

Sedar atau tidak, senario diwaktu petang ketika mengutip kerang, kepah dan remis itu juga merupakan salah satu daya tarikan pelancong selain pemandangan indah waktu senja.

Nasib nelayan

Meskipun pembangunan yang dibangunkan adalah untuk rakyat, namun sejauh mana nasib mereka akan terbela?

Apakah janji-janji yang ditabur akan ditepati?

Bukan menolak pembangunan, tetapi tidak mahu menjadi 'korban' dengan kerakusan pembangunan yang dirancang. Apa yang dibuat biarlah berbaloi.

Beberapa aktivis alam sekitar yang dihubungi Astro AWANI berpendapat, jalan penyelesaian boleh dicari dalam menangani isu pembangunan rakyat di kawasan tersebut.

Hakikatnya, kemusnahan alam sekitar perlu dibendung. Sayangi alam sekitar demi kepentingan bersama.