Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 yang bakal diadakan buat julung kali di Lumut, Perak akhir bulan ini menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk mengetahui lebih dekat mengenai peranan ATM.

Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya berkata hari terbuka berbentuk karnival bertemakan "Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada" yang diadakan bersempena Hari ATM ke-86 juga bagi memperingati jasa pahlawan negara.

Beliau berkata melalui acara berkenaan ia akan memberi peluang kepada masyarakat di luar Kuala Lumpur untuk mengetahui peranan dan aset dimiliki ketiga-tiga cabang pasukan keselamatan itu.

"Untuk menangani tohmahan yang mengatakan ATM tidak relevan, biar masyarakat sendiri melihat situasi sebenar dengan pendedahan semasa karnival berlangsung.

"Kita harus bangga dengan ATM kerana tanpa pasukan ini, kemungkinan banyak berlaku risiko ancaman terhadap negara," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program bual bicara Nine 11 terbitan Bernama News Channel di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, 70,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan hari terbuka itu yang akan diadakan di Pangkalan TLDM, Lumut dari 27 hingga 29 Sept.

-- BERNAMA