Tarikh melihat anak bulan Syawal adalah pada petang Isnin, 3 Jun bersamaan 29 Ramadan 1440 Hijrah, menurut kenyataan daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini, hari ini.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab dengan tarikh sambutan diisytiharkan pada malam itu juga melalui radio serta televisyen.

BACA JUGA: Masih keliru? Ini penjelasan cuti sekolah, cuti Hari Raya Aidilfitri 2019

Sebanyak 29 tempat dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka; Teluk Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati di Kuala Selangor, Bukit Jugra di Banting dan Balai Cerap Sabak Bernam, Selangor:

Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Kedah; Bukit Besar di Kuala Terengganu, Bukit Geliga di Kemaman, Pulau Perhentian di Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi di Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram di Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu, Kelantan;

Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berincang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan, Pahang; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru di Simpang Empat, Perlis;

Esplanade Luak di Miri, Teluk Bandung di Kuching dan Tanjung Batu di Bintulu, Sarawak; dan Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan serta Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Sabah.

-- BERNAMA