Semua anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah untuk memadamkan segala gambar berkaitan penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Perkara itu diakui oleh Komandan Kompeni B, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, DSP Joeking M. Marian Anthony yang juga saksi kelima pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes tersebut.

“Kami tidak diberi arahan tapi secara sukarela ambil dan beri gambar tersebut.

“Ada satu masa itu antara Mac dan April 2015, saya dapat arahan daripada pegawai pemerintah supaya sesiapa ada gambar berkaitan Wang Kelian minta dipadamkan. Cuma minta simpan gambar di batalion sahaja,” katanya dihadapan tujuh panel yang dipengerusikan Tun Arifin Zakaria yang juga bekas Ketua Hakim Negara.

Mengikut rekod, Pegawai Pemerintah Batalion 3 Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bidor, Perak pada ketika itu ialah Superintendan Wan Hamzah Wan Kadir.

Sebelum itu, pada 21 Januari 2015, pasukan sama turut diarahkan oleh Timbalan Ketua Polis Perlis ketika itu untuk memusnahkan kem yang dijumpai pada 18 Januari tahun sama.

“Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Perlis hasil mesyuarat bulanan yang berlangsung pada 20 Januari 2015,” katanya.


Bagaimanapun, ketika kerja-kerja pemusnahan kem itu bermula, mereka menjumpai pula kubur di kawasan tersebut.

“DSP S. Sivanganam (saksi keenam) mengarahkan kerja-kerja pemusnahan kem dihentikan selepas kami menjumpai kubur,” katanya.