Cadangan bagi cuti sekolah secara berperingkat dalam usaha menangani kesesakan di kawasan tumpuan pelancongan dan bagi memacu industri itu mendapat reaksi berbeza, dengan ada pihak menyatakan ia mungkin baik untuk sektor pelancongan manakala ada yang berpendapat ia mungkin akan mengganggu proses pembelajaran dan kehidupan berkeluarga.
Dalam reaksi terhadap cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu yang dilaporkan sedang menyediakan kertas kerja berhubung perkara berkenaan, pihak berkepentingan termasuk warga pendidik dan kalangan ibu bapa menyenaraikan kebaikan dan keburukan idea itu.
"Jika dilaksanakan, ia bakal menimbulkan masalah kepada murid dan warga pendidik itu sendiri. Contohnya jika anggota keluarga bertugas di negeri berlainan, mereka sukar menyelaraskan cuti dengan baik untuk bersama keluarga atau mengatur sesuatu program," kata Yang Dipertua Majlis Pengetua Pahang Mohd Ariffin Ab Rahman di Kuantan.
Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Razali Mustafa pula menarik perhatian tentang kesukaran menganjurkan acara seperti kejohanan sukan peringkat kebangsaan jika cuti sekolah tidak sama.
Di George Town, guru Siti Fatimah Mohamad Anwar, 38, yang tidak bersetuju dengan cadangan itu, berkata ia akan mengganggu proses pembelajaran umpamanya dari segi keperluan memenuhi silibus sebelum peperiksaan.
"Bagi pasangan yang berkahwin yang tinggal berasingan contohnya seorang di utara dan seorang lagi di selatan semenanjung, bagaimana hendak uruskan cuti ini dan bertemu untuk berkumpul sedangkan cuti mereka berbeza," katanya.
Bagi wartawan, V. Nagendran, 51, cuti sekolah tidak seragam antara negeri akan menyukarkan penganjuran acara seperti kenduri kahwin atau majlis keraian lain bagi membolehkan keluarga dan sahabat hadir bersama.
"Ada juga ibu bapa yang anak mereka bersekolah di negeri berlainan, sekiranya cuti sekolah tidak serentak sukar untuk berjumpa, secara tidak langsung boleh membuat hubungan kekeluargaan renggang," katanya yang bertugas di Seremban.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Alawiyah, Kangar, Dr Abdul Jalil Ramli berkata cuti persekolahan yang terbaik hendaklah mengambil kira semua pihak seperti ibu bapa yang bekerja dan anak-anak yang bersekolah supaya dapat bercuti serentak.
"Kalau ada negeri sesak sekalipun akibat kebanjiran pelancong, ia tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai banyak pilihan," tambahnya.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional Cawangan Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar pula menjangka jika cadangan itu dilaksanakan, kos untuk melancong akan menjadi lebih tinggi kerana pengusaha industri pelancongan dikhuatiri menaikkan harga sepanjang masa berbanding secara bermusim sekarang.
"Sebagai contoh sekarang harga (tiket) kapal terbang hanya akan naik semasa musim cuti sekolah, dan jika cadangan itu dilaksanakan, harga tiket akan naik setiap bulan kerana setiap negeri bercuti secara berperingkat," katanya.
Pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Salfuan Sani Abdullah, 38, berkata kebanyakan rakyat Malaysia gemar bercuti beramai-ramai termasuk mengadakan akitiviti hari keluarga di Tasik Kenyir, namun mungkin sukar berbuat demikian jika cuti sekolah berperingkat dilaksana.
Dalam pada itu, guru sekolah menengah di Alor Setar yang hanya mahu dikenali sebagai Balqis, berkata cadangan cuti sekolah berperingkat akan menjadi kekangan kepada pasangan guru berkahwin yang tinggal berjauhan untuk bercuti bersama.
"Orang yang PJJ (perhubungan jarak jauh) memang susahlah. Sebab tak sama tarikh cuti. Seorang cuti sekolah, seorang sekolah...(cadangan) ini ada pro dan kontra kalau nak ubah dari kebiasaan," katanya.
Pekerja swasta Zainudin Ali, 53, yang bersetuju dengan cadangan itu berkata: "Bila cuti sekolah berperingkat dilaksana, masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan dan kita dapat bercuti dengan lebih tenang dan santai kerana tak perlu bersesak dengan kehadiran pelancong yang padat di sesuatu kawasan."
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Puteri Wangsa di Johor, Rahilah Abdullahberpendapat kos percutian akan turun jika cadangan cuti sekolah berperingkat itu diterima selain tempat tumpuan pelancong tidak terlalu sesak untuk dikunjungi.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak mencadangkan agar Kementerian Pelanco-ngan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Pendidikan menjalankan kajian bersama untuk mengenal pasti keberkesanan cadangan itu.
"Kami cadangkan kedua-dua kementerian dapatkan pandangan agensi dan persatuan berkaitan termasuk NUTP untuk bersama menilai kesannya," katanya sambil berharap pihak berkenaan tidak terburu-buru dalam melaksanakan sebarang perubahan.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan pula berpandangan antara perkara yang perlu diteliti melibatkan program dan aktiviti di peringkat kebangsaan yang telah dirangka secara bersama dengan sekolah di negeri-negeri berbeza.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Oct 10 2018

Cadangan melaksanakan cuti sekolah secara berperingkat perlu dikaji secara terperinci. - Gambar fail

Sarawak capai kejayaan dalam elektrifikasi luar bandar dengan peluasan grid RES di Daro
Julaihi berkata projek itu akan membekalkan tenaga elektrik kepada 186 isi rumah di lapan kampung.

2 kanak-kanak maut dalam insiden letupan di Kemboja
Peluru 66mm (B-63) yang dipercayai peninggalan perang itu meletup pada Sabtu di Kampung Kranhong, Komun Ta Siem, Daerah Svay Leu.

Kerajaan peruntuk RM16.21 juta bagi pembangunan Orang Asli di Johor
Peruntukan menerusi JAKOA itu meliputi pelaksanaan pelbagai program ekonomi, keusahawanan, bantuan perumahan, pembangunan infrastruktur.

ATC 2025: Skuad Malaysia capai sasaran pingat
Sebelum ini, Mohd Harnizam meletakkan sasaran tiga pingat tanpa mengira warna bagi kejohanan itu.

Persatuan Pandu Puteri lahirkan pemimpin bermoral tinggi - Tunku Azizah
Baginda bertitah, pengadaptasian sahsiah nilai murni tidak boleh dipandang mudah kerana ia melengkapkan kriteria sebagai seorang pemimpin.

Ibu tiga anak maut, dipercayai dibunuh kekasih
Dalam kejadian itu, mangsa yang menyewa di rumah dua tingkat itu bersama kekasihnya sejak lima bulan lalu, ditemukan terbaring atas katil.

ATC 2025: Sawda pecah rekod remaja Asia, raih emas ujian masa 1km
Sawda mencatatkan satu minit 10.818s untuk memperbaharui rekod yang dicipta atlet Taiwan Liu Shang Ying (1:12.722s) pada pusingan kelayakan.

FAMA tingkat 30 peratus bekalan kelapa di seluruh negara
Abdul Rashid berkata masalah kekurangan bekalan kelapa bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia berikutan musim melawas.

KPKT sasar bina 112 Taman Rekreasi MADANI tahun ini
Ia termasuk pembinaan lapan TRM yang akan dibangunkan di Selangor melibatkan peruntukan RM4 juta.

Landskap penyiaran Pakistan berdepan cabaran getir
Untuk menangani isu itu, penyiar mesti mengutamakan ketepatan dan pengesahan sebelum menyiarkan sebarang maklumat kepada khalayak.

Reaksi berbeza terhadap cuti sekolah berperingkat
Ada pihak menyatakan ia mungkin baik untuk sektor pelancongan manakala ada yang berpendapat ia mungkin akan mengganggu proses pembelajaran dan kehidupan berkeluarga.