Perjalanan seorang remaja perempuan ke Tenom bertukar tragedi apabila maut selepas terjatuh daripada kereta api yang dinaikinya dalam kejadian di Batu 62, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa yang berusia 15 tahun itu dikatakan menaiki kereta api dari Beaufort.

Ketika insiden, mangsa dipercayai sedang duduk di tepi tangga antara dua gerabak dengan kedua-dua kakinya terkeluar, memandangkan gerabak penumpang kesemuanya penuh.

BACA: Remaja maut jatuh kereta api dikenal pasti

Setibanya di lokasi kejadian, tidak semena-mena kaki mangsa tersangkut dengan sebatang kayu berhampiran landasan sehingga menyebabkannya terjatuh dan kepalanya terhempas ke permukaan batu landasan.

Astro AWANI
Mangsa meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak mengesahkan kejadian.

"Mangsa sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Laporan penuh mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.