"Memang sedih. Yalah, kalau boleh kita nak kekal sampai habis 'service' kita dengan MAS, kita nak berkhidmat dengan 'national carrier'. Tapi nak buat macam mana, nasib kita rezeki kita sampai situ saja. Kenalah cari ikhtiar lain."

Sembilan tahun Mohamed Dzulhilmi Hazih berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines.

Bermula pada tahun 2006 sebagai jurutera pelatih pesawat, dia menjalani kursus bagi mendapatkan lesen kejuruteraan pesawat Boeing 777 selama enam tahun.

Bagaimanapun selepas hanya tiga tahun sebagai jurutera yang bertauliah, dia bersama 6,000 kakitangan yang lain terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada MAS pada 31 Ogos 2015 ekoran pelan penstrukturan semula syarikat itu.


Hampir empat bulan juga dia tidak berbuat apa-apa.

"Mula-mula tu kekok sikit lah, sebab dah biasa bangun pagi untuk bersiap ke tempat kerja. Lama-kelamaan kena biasakanlah hidup baru ini.

"Saya tinggal bersama keluarga di Taman Muda, Cheras. Jadi dalam tak bekerja tu, saya tolonglah buat kerja-kerja rumah. Masa itu juga saya layari internet untuk tengok peluang kerja. Ada masanya juga saya jumpa kawan-kawan untuk berbincang perkara sama.

"Isteri saya pula mengajar di Kampung Gajah, Perak. Anak kami pula umurnya baru setahun lebih, dan dijaga oleh ibu mertua saya di rumahnya di Sungai Besar, Selangor.

"Jadi perbelanjaan tu jimat sikitlah, cuma ada komitmen kepada bank untuk pinjaman bayaran kereta."

Dia tidak mengetahui punca sebenar namanya terpilih untuk pelan pemberhentian tersebut.

Dia cuma tabah dan redha menerima surat pemberhentian, pada masa sama terus memikirkan ke mana hala tujunya selepas itu.

"Saya rasa mungkin sebabnya adalah MAS tidak lagi menggunakan pesawat Beoing 777, jadi jurutera serta yang berkaitan dengan pesawat jenis tersebut terpaksa diberhentikan.

"Kalau hendak miliki lesen kejuruteraan pesawat lain perlu dihantar ke kursus khas untuk pesawat tersebut dan ia semestinya melibatkan kos."

Pada Januari 2016, dia yang selesa dipanggil Dzul mula menjalankan perkhidmatan cuci tempat duduk kenderaan dengan bergerak ke rumah pelanggan di sekitar Cheras, Kajang dan Bangi.

"Mulanya saya tak ada pun terfikir nak buat kerja ini. Idea ini sebenarnya datang daripada kakak saya. Dia merupakan pelanggan kepada perkhidmatan cuci tempat duduk kereta yang dia temui di Facebook.

"Kemudian dia suruh saya cuba nasib setelah perkhidmatan itu mencari orang untuk menjadi agen cawangannya, jadi saya cuba hubunginya dan diterima."

Dzul yang berusia 33 tahun mengakui, agak sukar menjalankan pekerjaan baharunya ini.

Mana tidaknya, dahulu di MAS dia mempunyai staf lain yang dapat membantunya.

"Sebagai jurutera, saya mengetuai pasukan dan ada beberapa orang 'technician' di bawah saya. Jadi kerja saya lebih kepada memantau dan memastikan semuanya berjalan lancar. Tetapi kali ini, semua kerja saya sendiri yang kena buat.

"Saya muda lagi, ada tenaga. Jadi apa salahnya kita ubah pendirian daripada kita makan gaji, kita cuba buat bisnes yang kita suka. Tambah pula tak ada kongkongan daripada majikan, cuma kita dengan pelanggan sahaja. Tekanan kerja kurang."

Perkhidmatan yang ditawarkan Dzul bermula dari serendah RM70 hingga RM170 mengikut jenis kereta. Jika dibandingkan dengan pendapatan yang diraihnya ketika di MAS dahulu, ia tidak jauh beza.

"Alhamdulillah, boleh kata setiap hari ada sahaja permintaan. Kalau di MAS dulu saya boleh dapat sekitar RM4000 lebih beserta elaun, dan kerja saya sekarang pula saya boleh raih sekitar RM3000 lebih, bergantung kepada kerajinan saya.

"Kerja servis ini saya puas, saya boleh berjumpa dan berkenalan dengan orang baru. Saya akan berjumpa orang yang bermacam-macam karakter. Saya juga puas bila tengok pelanggan puas dengan hasil kerja saya.

"Pada masa sama saya juga boleh tambahkan lagi rangkaian kenalan saya. Kadang-kadang mereka juga berkongsi idea dan pengalaman mereka terhadap bisnes."

Setakat ini, pelajar lepasan Diploma jurusan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Industri Selangor (Unisel) ini berpuas hati dengan kehidupan barunya. Bagaimanapun pada masa sama, dia terus mencari peluang kerja dalam bidang penerbangan, atas cintanya terhadap bidang tersebut.

Biarpun dibuang, dia tidak patah semangat.

"Pemberhentian daripada MAS ini membolehkan saya melihat dari sudut yang lain tentang kehidupan dan bagaimana untuk meneroka peluang yang ada.

"Rezeki Allah itu luas, kita usaha dan tawakal sahaja. Asalkan halal dan dapat bantu kita untuk terus hidup."