Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot hari ini memberi keterangan kira-kira 10 jam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Riot, 66, dengan berkemeja putih dengan bertali leher merah tiba di bangunan SPRM pada 10.03 pagi dan dilihat meninggalkan bangunan SPRM selepas 8 malam.

Ditemui pemberita yang menunggu di lobi selepas memberi keterangan, Riot yang kelihatan penat berkata, "Saya datang untuk membantu siasatan SPRM... tiada dokumen diserahkan. Saya datang dengan tangan kosong."

Ditanya kenapa mengambil masa panjang untuk memberi keterangan, beliau enjawab "itu biasa sahaja" sebelum beredar dengan kenderaan yang menunggu di perkarangan bangunan SPRM itu.

Semalam, setiausaha politik Riot, Datuk Peter Runin direman enam hari bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 13 Sept lepas, SPRM juga menahan empat individu termasuk seorang yang bergelar Datuk berhubung isu penyelewengan itu.

Kesemua individu terbabit yang direman enam hari bermula 14 Sept lalu masing-masing telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA