Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rohingya bukan sahaja isu ASEAN malah ia adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian semua pihak.
Najib memberitahu, dia menerima panggilan telefon dari Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon pagi tadi yang menyuarakan kebimbangan mengenai pelarian etnik itu.
Ki Moon menyatakan isu pelarian Rohingya adalah satu malapetaka kemanusiaan yang perlu ditangani segera.
Justeru itu, satu penyelesaian melalui forum ASEAN dengan kerjasama semua pihak perlu diadakan.
Isu pelarian Rohingya sebenarnya bukan hanya perlu ditangani oleh sesebuah negara tertentu tetapi memerlukan perhatian dan komitmen semua negara anggota ASEAN. - Foto AFP
GALERI FOTO: Pelarian Rohingya di perairan Thailand“Saya beritahu Setiausaha PBB, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang mesti dipandang berat semua negara. Bukan isu ASEAN tapi isu kemanusiaan sejagat yang perlu perhatian semua pihak.
“Kita hormati prinsip ASEAN iaitu tidak saling mencampuri urusan dalam negara ASEAN. Namun, apabila masalah itu merebak dan menjejaskan negara ASEAN lain atau ke luar rantau ASEAN, kita peru cari penyelesaian melalu forum dan kerjasama pihak yang lain,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah di Taman Perling, Johor Bahru.
Ketika ditanya sama ada PBB akan menawarkan bantuan, Najib berkata badan dunia itu telah menyatakan kebimbangan dan bantuan disalurkan menerusi Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR).
"Kita tengok apa kenyataan yang akan dibuat oleh PBB," katanya.
Mengenai sama ada Malaysia akan menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 1951, Najib berkata: "Terdapat implikasi dalam soal ini. Seperti yang anda tahu, Malaysia sudah ada 120,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar di dalam negara.
Kepayahan hidup yang ditanggung pelarian Rohingya sepatutnya membuka mata seluruh negara anggota ASEAN dan negara-negara lain di rantau ini. - Foto AFP
"Nak kata kita tidak menampung dan mengurangkan masalah kemanusiaan ini tidak benar. Malaysia telah memainkan peranan besar tapi kita bukan punca kepada masalah ini," kata Najib.
Ketika ditanya sama ada kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digunakan untuk menempatkan pelarian Rohingya, Perdana Menteri berkata, keputusan akan dibuat atas "dasar kemanusiaan".
"Kita akan buat (berdasarkan) budi bicara atas dasar kemanusiaan tapi kita tidak boleh bagi isyarat yang Malaysia terbuka, siapa-siapa hendak masuk, boleh masuk," tegasnya.
Katanya beliau sudah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk menyampaikan mesej ini kepada pemerintah Myanmar dan berharap mereka memberi maklum balas positif kerana ia berpunca daripada masalah dalaman.
"Sehari dua ini kita lihat apa respons mereka (Myanmar) dan saya sedang berhubung dengan rakan-rakan ASEAN yang lain," katanya.
Turut melahirkan kebimbangan terhadap isu itu ialah Perdana Menteri Australia, Tony Abbot kepada Najib menerusi pesanan ringkas.
BACA: ASEAN perlu bantu rakyat Rohingya - Naib Ketua Pemuda UMNO
BACA: Di mana nilai kemanusiaan kita?
BACA: KIta sakan 'Selawat Prrdana' tetapi tidak mahu selamatkan Rohingya - Dr Maza