Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berkata pelarian Rohingya mungkin akan ditempatkan di penempatan sementara di negeri di utara termasuk di Pulau Pinang menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Ia termasuk reaksi beberapa NGO dan badan-badan industri yang menyifatkan keperluan ruang dan sumber yang cukup perlu disediakan jika Pulau Pinang bakal dijadikan lokasi penempatan pendatang.

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan, isu itu melibatkan banyak negara dan memerlukan penyelesaian jangka panjang dan bukan bersifat sambil lewa.

Rohingya

Katanya, penempatan sementara pelarian Rohingya di Pulau Pinang memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Negeri atas dasar perikemanusiaan

Berikut adalah kenyataan penuh Reezal Merican:

1. Permasalahan pelarian Rohingya yang dikatakan masih belum menemui jalan penyelesaian - memerlukan komitmen dan kesungguhan semua pihak. Ini bukannya isu dan masalah yang kecil. Ianya melibatkan banyak negara dan memerlukan penyelesaian jangka panjang dan bukan bersifat sambil lewa.

2. Cadangan Ketua Polis Negara, agar kumpulan pelarian ini ditempatkan di Pulau Pinang, di atas faktor geo-strategik perlu diberikan perhatian yang serius. Setakat ini, Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga dikatakan akan meneliti pelbagai faktor dalam memberikan kerjasama. Saya secara peribadi, menganggap kesediaan Kerajaan Negeri mengkaji perkara ini amat dihargai dan sangat dialu-alukan.

3. Ini bukan masanya untuk kita bermain 'kad kuasa' dan menunjukkan ego kita sebagai pemimpin. Ketepikan sementara ego dan melihat isu ini melalui perspektif kemanusiaan sebenar. Warga Rohingya tidak mahu berada dalam keadaan yang terdesak ini, malah mereka berhadapan dengan situasi yang sangat sukar di tanah air sendiri.

4. Jika laporan yang dibuat beberapa akhbar adalah benar, sikap Ketua Menteri Pulau Pinang untuk melihat terlebih dahulu cadangan agensi Persekutuan dalam perkara ini saya alu-alukan. Benar, kami mungkin berbeza pendapat dalam banyak isu, tetapi keterbukaan Guan Eng dalam masalah pelarian Rohingya ini saya raikan.

5. Saya sedar, bahawa tindakan untuk membenarkan mereka ditempatkan di Malaysia, waima secara sementara memerlukan kos yang besar. Sebab itu, ini tidak boleh dilihat sebagai 'masalah serantau' semata-mata. Ini boleh bertukar menjadi isu global.

6. Apa yang berlaku adalah 'ujian' kepada sikap dan tindakan kita sebagai bangsa yang bertamadun dan mempunyai semangat ummah yang sebenar. Tindakan pantas negara seperti Turki, sebagai misal, sememangnya memberikan perspektif yang baik kepada kesatuan umat Islam. Selain daripada ASEAN - OIC juga perlu membuat ketetapan yang pantas dan tepat mengenai isu ini.

________________________________________________________________________
*Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican adalah Ahli Parlimen Kepala Batas.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.