Saringan COVID-19 hanya melibatkan seramai 600 banduan di sebuah blok Penjara Sungai Buloh susulan seorang penghuninya yang positif virus itu semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, ia tidak dilakukan ke atas penjara-penjara lain di seluruh negara berikutan hanya penjara berkenaan setakat ini dilaporkan mempunyai kes positif COVID-19.

"Prinsip kita sama , kita hanya saring di kawasan terlibat. Kalau berlaku di Penjara Sungai Buloh, maka hanya di sana disaring dan tidak seluruh penjara di Malaysia. Seperti di Depoh Tahanan Imigresen PATI, hanya DTI Semenyih, Bukit Jalil, dan KLIA sahaja disaring. Maka di Penjara Sungai Buloh kita saring kecuali kalau ada kes COVID-19 di penjara lain," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

Saringan COVID-19 dilakukan bermula hari ini di blok yang terlibat dengan kes positif seorang penghuni warga asing berkenaan.

Pada masa sama, saringan akan turut dilakukan ke atas semua kakitangan penjara berkenaan.

"Di Penjara Sungai Buloh, ada 8 blok penjara. Oleh kerana satu blok sahaja yang positif, maka di blok berkaitan sahaja dibuat saringan, itu sahaja dibuat. Penjara ini tidak bercampur jadi blok lain tiada saringan.

"Setakat hari ini, kita akan buat saringan di blok berkaitan, terdapat 600 banduan , kita akan buat semua, cuma kakitangan penjara kita buat semua seramai 700 orang," ujar beliau.