"Saya terharu. Syukur kepada Allah. Ini anugerah kita bersama, bukan Siti Zainon ya, untuk kita bersama. Terima kasih," kata Prof Dr Siti Zainon Ismail ketika diwawancara dalam Buletin AWANI Khas malam tadi.
"Alhamdulillah. Ini adalah kerja keras yang perlu kita lakukan, bukan untuk peribadi, tetapi untuk bangsa kita," tambahnya.
Buletin tersebut disiarkan khusus untuk membawakan laporan tergempar mengenai pelantikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-14, pada Selasa.
Ketika pengumuman itu dibuat, Siti Zainon, 69 tahun, hadir sebagai tetamu dalam siaran langsung berkenaan dan tidak tahu bahawa namanya bakal diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Di sebalik kejutan berkenaan, penerima anugerah sastera itu secara tenang berkata, anugerah yang menjadi rebutan ramai sasterawan itu bukan miliknya seorang, tetapi milik bersama.
BACA: Siti Zainon Ismail dipilih Sasterawan Negara ke-14
"Terus terang saya nyatakan, ini adalah kerjasama semua penulis, semua anak negeri, semua rakyat Malaysia yang membaca sastera dan budaya.
"Abah mendidik (saya), apabila diberikan sesuatu, itu bukan hadiah untuk saya seorang jadi harus berkongsi," imbau Siti Zainon.
"Bila abah membawa kitab balik ke rumah, ini bukan untuk 'Izan' (nama timangan semasa kecil) seorang, ini untuk kawan-kawan. Dari kecil memang kita berkongsi," kenang Siti Zainon apabila ditanya tentang apa yang bermain di fikiran beliau ketika nama beliau diumum sebagai Sasterawan Negara terbaharu.
Maszlee pada Selasa mengumumkan pelantikan Siti Zainon sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-14.
Anugerah itu melayakkan Siti Zainon menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, hak penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku maksimum berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Siti Zainon juga akan menerima kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk penerbitan karya, perterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan.
Buletin AWANI Khas: Sasterawan Pemikir Negara
Bergerak ke hadapan, beliau mahu terus berkongsi ilmu terutama sekali dengan generasi muda.
Pada masa sama, beliau mengakui masih menyantuni pelajar-pelajar sarjana dan doktor falsafah dalam hal melibatkan kajian mereka, walaupun sudah tidak lagi mengajar secara terus di mana-mana universiti, kerana menyifatkannya sebagai satu amanah.
"Ini kerja keras yang perlu kita lakukan, bukan untuk peribadi tetapi untuk bangsa kita."