Seorang individu bernama Haziq Aziz hari ini tampil membuat pengakuan melalui laman sosial Facebooknya bahawa dia adalah individu yang terlibat dalam video melibatkan mirip seorang menteri.

Bagaimanapun jelasnya, video berkenaan diambil tanpa kebenarannya.

"Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama (lelaki mirip menteri) dalam video yang telah viral semalam.

"Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan di bilik (lelaki mirip menteri) di sebuah hotel," katanya yang memuat naik rakaman videonya di akaun Facebook.

Haziq dalam pada itu turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang mirip seorang ahli politik itu atas tuduhan rasuah.

"Dia bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin," ujarnya.

Sejak semalam, klip video memaparkan dua lelaki berada di atas katil melakukan aksi intim dengan salah seorang lelaki yang wajahnya mirip seorang menteri.

Bagaimanapun, Astro AWANI tidak dapat mengesahkan kesahihan dan ketulenan video berkenaan.

Astro AWANI juga sedang berusaha mendapatkan komen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai video tersebut.

Dalam masa sama Astro AWANI juga sedang berhubung dengan pelbagai pihak termasuk
SPRM bagi mendapatkan maklum balas berhubung penyebaran video berkenaan.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau tidak tahu menahu tentang sebuah video intim yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii membabitkan seorang menteri Kabinet.

Menurut Dr Mahathir, beliau perlu baca berhubung perkara itu terlebih dahulu.

BACA: 'Saya tidak tahu menahu tentang video 'intim' tular mirip Menteri' - Tun M



Berikut merupakan video yang dimuat naik di akaun Facebook individu tersebut. Namun Astro AWANI tidak dapat mengesahkan kesahihan video tersebut.