Dakwaan satu akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang disifatkan hanya khabar angin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, laporan yang dikeluarkan sebuah portal mengenai isu berkenaan dianggap hanya rencah dalam politik.

"Saya baru baca laporan itu semalam dan tidak ada dalam pengetahuan kami.

"Yang saya tahu adalah 21 Februari nanti akan ada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan bermesyuarat seperti biasa. Itu yang saya tahu," katanya selepas mengadakan dialog bersama pemain industri mengenai impak COVID-19, di sini pada Khamis.

Portal Sarawak Report yang memetik sumber sebelum ini melaporkan, ada individu yang mengumpulkan sejumlah Ahli Parlimen untuk menandatangani SD itu dalam tempoh terdekat.

Laporan itu juga mendakwa, Ahli Parlimen UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan yang setia kepada seorang pemimpin kanan PKR, sudah diminta untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani SD itu.

Difahamkan SD berkenaan untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen supaya peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahimn ditangguhkan hingga PRU akan datang.

Bagaimanapun, laporan itu juga menyebut bagaimana SD itu akan memanfaatkan Dr Mahathir masih tidak jelas.

BACA: Anwar tidak tahu wujud akuan bersumpah halang jadi PM


Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR mengakui, tidak tahu mengenai dakwaan kalangan Ahli Parlimen sedang membuat satu SD untuk menyokong Dr Mahathir terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri hingga pilihan raya umum akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, setakat ini beliau belum dimaklumkan mengenai kesahihan dakwaan itu yang dikatakan bertujuan menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri sebelum PRU15.