Susulan gempa bumi pada Jumaat, Taman-Taman Sabah telah mengesan kerosakan serius di bahagian selatan Gunung Kinabalu yang mengakibatkan perubahan kekal pada rupa bentuk gunung berkenaan.
Pengarahnya, Dr Jamili Nais berkata hasil tinjauan udara mendapati terdapat seolah-olah kesan "cakaran" pada sebelah selatan gunung.
"Permukaan batu dan di kawasan kaki gunung itu kelihatan seolah-olah "dicakar". Terdapat macam kesan cakaran dan itu disebabkan 'fault line' di permukaan batu itu dan bongkah-bongkah batu yang mengelongsor turun menyebabkan ia kelihatan seolah-olah membentuk sungai batu yang mengelongsor dari atas ke bawah," katanya sambil menjelaskan kawasan itu terdapat paling banyak kematian pendaki dan malim akibat ditimpa gelongsoran batu-batu berkenaan.
Taman-Taman Sabah telah mengesan kerosakan serius di bahagian selatan Gunung Kinabalu yang mengakibatkan perubahan kekal pada rupa bentuk gunung berkenaan. - FOTO oleh Dr Jamili Nais
Berikutan kerosakan teruk akibat gempa, laluan yang sebelum ini digunakan pendaki mungkin perlu ditutup.
"Saya dapat melihat perjalanan ke eastern plateau yang jarang-jarang orang lain pergi tetapi pendaki berpengalaman seperti kami sering pergi ke situ sudah tidak dapat dilalui dan kini sudah menjadi 'teknikal climb'."
"Kemudian untuk pendakian ke puncak ada beberapa tempat perlu diperbaiki dan dicari jalan alternatif." ulasnya lagi.
Bagaimanapun, tinjauan sekeliling gunung itu mendapati hanya kerosakan kecil berlaku di bahagian barat dan timur.