Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercayai untuk memberi sokongan moral terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu serta bersalaman dan momen itu dipercayai merupakan kali pertama dirakam sejak pemecatan Anwar pada 18 tahun lalu.


Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melalui tweet di akaun rasminya, itu merupakan pertemuan pertama selepas 18 tahun 3 hari.

Dr Mahathir hadir ke mahkamah ditemani Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Kamarudin Jaffar, dan bekas Naib Ketua Cawangan UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Datuk Seri Anwar menfailkan injunksi sementara bagi menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Anwar, yang juga bekas ketua pembangkang, memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN bertentangan dengan Perlembagaan.

Beliau mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir turut senada menentang akta tersebut.