Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terharu apabila dakwaan terhadap dirinya mendapat reaksi prihatin daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi akaun Twitter miliknya hari ini, Mohamed Azmin memberitahu pertemuan pada petang semalam bersama Zulkifli mengukuhkan semangatnya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan @drzul_albakri untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas,” tulisnya.

Ahli Parlimen Gombak itu turut menunjukkan sehelai kertas yang diberikan oleh Zulkefli bertulis: “Saya suka berpesan kepada YB Dato’ Seri untuk konsisten berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah dalam apa jua tindakan termasuk tugas harian.

"Ingat pesanan Nabi SAW: Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.

"Perbanyakkan solat malam dan bermunajat kepadaNya di sepertiga malam kerana ianya ibarat busur panah yang laju mengena sasarannya. Itulah senjata paling ampuh dan kuat.

"Beginilah para salafussoleh zaman dulu, mereka merintih dan mengadu kepada Allah SWT sehingga tersingkap segala kabus yang menenggelamkan cahaya yang menyinari.


"Saya sentiasa berdoa agar Allah yang Maha Kuasa memberikan kekuatan dan ketabahan yang tinggi dalam menghadapi saat yang genting ketika mana badai fitnah mengganas. Semoga gerhana ini berlalu pergi, YB Dato’ Seri.”

Pada Selasa, bekas Menteri Besar Selangor itu dikaitkan dengan video lucah bersama seorang lelaki bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Azmin menegaskan tuduhan yang dibuat oleh Haziq Abdullah merupakan komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian beliau.

Beliau juga menyifatkan tuduhan tersebut bertujuan menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

"Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas," katanya.

Terdahulu, Astro AWANI semalam melaporkan kenyataan Zulkifli yang memberitahu tuduhan liwat atas seseorang adalah satu kesalahan qazaf jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi atau pengakuan ikrar orang yang dituduh.

Katanya, dalam Islam, kaedah yang digunakan ialah bukti perlu dikemukakan oleh orang yang mendakwa atau menuduh, manakala orang yang dituduh boleh bersumpah terhadap kebenaran tuduhan tersebut.

"Mengikut kaedah itu, orang yang menuduh perlu mengemukakan bukti empat orang saksi yang melihat sejelas-jelasnya perbuatan tersebut.

"Dalam kes rakaman video hanya penolong kepada bukti iaitu bukti mestilah empat orang saksi yang melihat perbuatan tersebut yang mereka hendaklah seorang yang adil, tidak buta dan tidak fasik," kata Zulkefli.