Sempena Hari Wanita 2018, seorang pemimpin Pas Perak mencadangkan agar para isteri menghadiahkan kepada suami masing-masing seorang lagi isteri.

Ketua Penerangan Pas Perak, Wan Tarmizi Abd Aziz berkata usaha itu jika dilakukan oleh golongan hawa yang bergelar isteri boleh dianggap menghargai wanita lain.

"Hari Wanita akan lebih bermakna jika wanita itu menghadiahkan seorang lagi wanita kepada pasangannya sebagai tanda menghargai wanita lain," tulis Wan Tarmizi di Facebooknya hari ini.

Kenyataan yang dibuat secara terbuka itu membuatkan ada yang beranggapan akaun Facebook Wan Tarmizi digodam.


Sebelum ini, Wan Tarmizi pernah mendakwa akaun Facebooknya digodam apabila satu status yang dimuatnaik mengundang kecaman netizen.

Status yang dikecam itu berbunyi, "Solat dibuat tapi tak mahu pangkah PAS, mesti solat orang itu tak betul."

Wan Tarmizi menganggap ada pihak cuba memburukkan imejnya dan Pas.