Sebanyak 3.1 juta saman yang dikeluarkan di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), bernilai RM435 juta, telah dibatalkan serta merta, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Selain itu, katanya lagi, sistem berkenaan yang beroperasi di bawah dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula 1 September ini.

“KSU (Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Saripuddin bin Kasim) beritahu saya minggu depan Hari Raya Haji adalah Hari Raya Korban. Maka kerajaan berkorban untuk tidak mengutip saman-saman ini.

“Maka semua saman AES yang dikeluarkan sebelum ini setakat ini, yang masih belum berbayar, yang masih tertunggak oleh orang ramai, dibatalkan serta-merta,” katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.

Loke berkata, kerajaan tidak akan rugi dengan penghapusan saman itu kerana mengikut perjanjian, bayaran saman berkenaan hanya akan pergi ke dua syarikat tersebut.

Ujarnya lagi, penghapusan saman ini hanya one-off, dan penguatkuasaan AES akan lebih tegas di bawah JPJ.