Banjir di pantai timur mengorbankan dua nyawa hari ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan remaja lelaki 17 tahun di Terengganu.

Dalam kejadian di Kampung Tok Hakim, Bukit Payung pada 1.30 tengah hari semalam, kanak-kanak itu, Khalid Al-Walid Juzaiman, 12, ditemui lemas selepas dikatakan tergelincir di kawasan tali air.

Zulfaiz Zukarmi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut pula ditemui lemas setelah tergelincir lalu terjatuh ke dalam Sungai Besut kira-kira 5 petang Selasa.

Jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 2,019 orang di 49 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 10 malam ini, berbanding 1,748 orang pada 4 petang tadi.

Besut mencatat kenaikan mendadak jumlah mangsa kepada 449 orang di sembilan PPS, Hulu Terengganu (782 mangsa di 18 PPS), Setiu (365 mangsa di lapan PPS), Marang (71 mangsa di satu PPS), Dungun (159 mangsa di empat PPS), Kuala Nerus (126 mangsa di dua PPS) dan Kuala Terengganu (67 mangsa di dua PPS).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir semakin meningkat apabila 5,016 mangsa dipindahkan ke 67 PPS pada 9 malam ini, berbanding 3,033 mangsa pada 4 petang tadi.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan 1,716 orang ditempatkan di 22 PPS, diikuti Kota Bharu (1,071 mangsa di sembilan PPS), Pasir Puteh (1,129 mangsa di 11 PPS), Tanah Merah (472 mangsa di 14 PPS) dan Jeli (345 mangsa di tiga PPS).

Seramai 156 mangsa dipindahkan ke dua PPS di Bachok, manakala 127 mangsa berada di enam PPS di Kuala Krai.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.44 meter pada 9 malam ini, berbanding 10.33 meter pada 3 petang tadi (paras bahaya adalah 9 meter).

Hujan kadang-kala lebat dilaporkan masih berterusan di beberapa kawasan di negeri itu, setakat malam ini.

-- BERNAMA