Seramai 2,362 penuntut dari tujuh universiti di zon tengah pulang serentak ke beberapa lokasi selatan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bermula pukul 10 malam tadi dalam proses yang sekali lagi diuruskan oleh Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pengajian Tinggi malam tadi, universiti awam terlibat itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL).

"Saya doakan kesemua pelajar selamat dalam perjalanan menaiki 14 buah bas ke 11 lokasi Ibu Pejabat Daerah (IPD) iaitu tiga di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lima di Johor," kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan itu.

Petugas UPM melakukan proses disinfeksi ke atas beg sebahagian 256 mahasiswa dari tujuh universiti awam yang pulang ke selatan tanah air di UPM, 5 Mei, 2020. --fotoBERNAMA

Setibanya penuntut ini ke IPD masing-masing, mereka akan dihantar ke rumah.

Dr Noraini berpuas hati dengan kelancaran proses pada malam ini yang diselaraskan secara keseluruhan oleh UPM.

"Terima kasih kepada usaha Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam memastikan proses ini berjalan lancar," katanya.



UPM pada 2 Mei turut menjadi tuan rumah bagi proses perjalanan pulang penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta zon tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) ke beberapa lokasi di zon Perak melibatkan 1,876 pelajar.

-- BERNAMA