MALAM Jumaat 12 Februari 2015, jam 9.40 malam. Itu janji yang telah 'dipersetujui' oleh agamawan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Sang Pencipta, untuk pergi mengadapNya.

Genap setahun pemergian beliau hari ini, kesedihan masih dirasai. Namun ilmu dan kebijaksanaannya, terutamanya mutiara kata yang menyentuh perihal agama, dikenang dan akan terus diingati.

Memperingati pemergiannya, Astro AWANI mengumpulkan 5 mutiara kata yang ditinggalkan beliau. Semoga segala yang dikongsi beliau bersama masyarakat menjadi pedoman untuk menghadapi hari-hari mendatang.

"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan merasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita terus lakukan dosa. Tanpa keyakinan ini, manusia akan hilang 'brek'. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung, tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun Neraka."

- 'Bertemu Janji Allah Jilid 2'

“Jahil adalah penyakit kanser merbahaya yang menular dalam tubuh manusia. Bahayanya jahil ini boleh membawa syirik kepada Allah. Seperti mana penyakit kanser ada pencegahnya, begitu juga jahil ada pengubatnya. Pengubat bagi penyakit jahil adalah al-Quran dan as-Sunnah.”

- Hikam Tok Guru Siri 3 (2008)

“Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah. Kemudian tidurlah."

- sayangislam.com (2009)

“Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya. Jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai tuhan tetapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah."

- Komik Tazkirah Tok Guru (2015)

"Orang yang putus hubungan dengan Tuhan seperti wau yang putus tali. Walaupun wau yang putus tali mungkin nampak hebat, ke kiri, ke kanan dan terbang tinggi ditiup angin namun itu tidak lama, ia akan jatuh. Berbanding dengan wau yang bertali, ia terkawal dengan tali yang mengikatnya. Begitu juga bandingan manusia yang putus hubungan dengan Tuhan dengan manusia yang terikat dengan Tuhan."

- Ucapan di Medan Ilmu, 12 Febuari 2010

GALERI FOTO: Pengebumian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015)

TONTON: Selepas setahun pemergian Allahyarham Nik Aziz