Masih terlalu awal untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menentukan siapa yang akan dipanggil untuk siasatan baharu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Pengerusinya Datuk Seri Ronald Kiandee, terma rujukan harus ditentukan terlebih dahulu sebelum memanggil individu untuk siasatan dan ini termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Terlalu awal untuk tentukan siapa dipanggil sebab kita harus berpandukan pada terma rujukan yang akan dibuat kelak dan strategi penyiasatan.

"Semua akan ditentukan kemudian," katanya dalam satu sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Apabila ditanyakan tentang bidang siasatan baharu ke atas kes tersebut, Ronald berkata taklimat akan dibuat tentang perincian siasatan lama.

"Selepas perkara tersebut ditentukan, baru boleh ditentukan bidang siasatan," katanya.