Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika ditemui di pekarangan lobi Menara Dato' Onn memberitahu topik mengenai 1MDB telah dibangkitkan dalam mesyuarat.

"Kami berharap dalam isu 1MDB, akan ada penyelesaian yang cepat dan tidak mengambil masa lama kerana rakyat sedang menunggu.

"Kami juga harap tindakan dapat diambil terhadap sesiapa yang bersalah dalam hal ini," ujar Khairy yang turut mengetengahkan soal pemulihan syarikat pelaburan tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, menafikan beberapa kenyataan yang dibuat sayap parti yang dipimpinnya mahupun daripada Timbalan Perdana Menteri akhir-akhir ini dianggap sebagai 'serangan' khusus buat pucuk pimpinan terutamanya kepada Perdana Menteri.

"Itu semua adalah kenyataan-kenyataan bagi menzahirkan kerisauan terhadap sesuatu perkara.

"Tidak salah bagi sesiapapun untuk berekspresi bagi menyatakan rasa peduli terhadap sesuatu perkara.

"Semua orang telah berbincang dalam mood yang positif malah Presiden sangat terbuka menerima perkara-perkara yang dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi," ujar beliau.

Dalam hal berkaitan, Khairy menafikan khabar angin mengenai Langkah Milan yang sedang disebut ramai pihak.

"Adalah jelas dan terang bahawa Timbalan Perdana Menteri mengatakan hal itu tidak terjadi seperti yang diperkatakan," kata beliau.

Khairy menyatakan bahawa pertemuan hari ini bukan mengenai kedudukan seseorang pemimpin tetapi tentang mencari penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan.

"Kami sedar bahawa 1MDB bermasalah, dan kami cari jalan bersama untuk dapatkan penyelesaian," kata Khairy.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kerjasama erat antara ahli parti berkenaan akan membolehkan UMNO hadapi sebarang bentuk cabaran.

"Kita akui bahawa ada beberapa isu perlu diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

"Alhamdulillah, hubungan antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan baik dan kita perlu beri sokongan kepada kedua-duanya demi selesaikan isu yang dibangkitkan rakyat," ujar Shahrizat.