Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan tindakan menentang syarikat multinasional atau bersikap anti-multinasional hanya akan merugikan negara.

Jelasnya, ia berikutan Malaysia masih memerlukan syarikat multinasional kerana perdagangan dan pelaburan negara bergantung kepada dunia.

"Setakat ini perbahasan (Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA) cukup baik, cuma kalau ada mana-mana Ahli Parlimen yang ambil pendekatan bashing syarikat multinasional, kita tahu multinasional tidak sempurna tetapi kalau pembangkang ini begitu anti-multinasional maka hambatlah mereka (syarikat multinasional) daripada Malaysia kalau itulah pendekatan.

"Sedangkan Kelantan pun ada (syarikat) multi-nasional, " katanya dalam sidang media selepas berucap pada Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan Ahli Parlimen agar tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak benar mengenai perkara itu.

"Kalau ada mana-mana Ahli Parlimen yang anti-multinasional silalah cadangkan supaya mereka tutup kilang dan sebagainya. Jadi, kita kalau mahu bercakap kena berhati-hati kerana kita bergantung kepada dunia.

"Malaysia sebuah negara perdagangan dan pelaburan bergantung kepada dunia. Kalau kita anti-multinasional dan kita mahu halau mereka mereka dari negara kita, macam mana (perasaan kita) kalau orang halau kita pula? Sekarang kita cakap pasal win-win situation," kata beliau.

Bagaimanapun, kerajaan tetap mengakui ada perkara yang perlu diperbetulkan dalam kerjasama dengan syarikat berkenaan.

"Namun kita akui, ada perkara kita perbetulkan seperti mereka perlu lebih bertanggungjawab kalau umpama mereka perlu lebih agresif membangunkan Perusahan Kecil dan Sederhana. Ini kita akui.

"Jangan menghentam perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing kerana ini akan menakutkan orang ramai dan menjauhkan anda (ahli Parlimen) daripada mereka dan ini merugikan kita," tegasnya.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diterima, syarikat multinasional Malaysia daripada TPPA menggaji lebih 700,000 pekerja.

"Sebelum kita buka mulut, hendaklah kita berhati-hati kerana kita mahukan pelaburan, kalau tak mahu pelaburan tutuplah. Kita harus ada objektif dalam perbahasan.

"Saya harap semua berucap (Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA) berdasarkan fakta," kata Mustapa lagi.