Dengan mengambil contoh perjalanan dari KLCC ke Bukit Bintang yang tidak 'pulang modal', pengasas syarikat teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail menyifatkan beberapa tekanan lain menjadikan isu itu tidak terbendung sehingga kini.
"Kebanyakan teksi tidak boleh cari makan jika harga tambang tidak disemak semula, bayangkan satu perjalanan KLCC ke Bukit Bintang hanya menelan belanja RM6, bagaimana pemandu teksi ini hendak cari makan jika tidak 'potong' harga meter.
"Penguatkuasa SPAD perlu buat kerja, jangan hanya melihat masalah dari aspek atau pihak tertentu sahaja, ia harus ditangani secara keseluruhan," katanya dalam slot Buletin AWANI pada Khamis.
Shamsubahrin mengulas isu tekanan pemandu teksi yang dilihat berdepan dengan kos hidup tinggi sehingga mendorong mereka tidak menggunakan meter, malah, mengenakan tambang yang melampau.
Kata Shamsubahrin, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPAD kerana menyebabkan syarikat itu menanggung kerugian.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah memberitahu, tidak sampai 10 peratus pemandu teksi yang melakukan perbuatan tidak mengikut tambang daripada meter.
Katanya, kerana itu, keseluruhan pemandu teksi terpalit persepsi sama sehingga menyebabkan nama baik profesion itu tercalar.
Bagaimanapun jelasnya, penguatkuasa perlu mengadakan sistem simpanan data pemandu teksi supaya pemandu yang 'nakal' dapat dikenal pasti dan dipantau.
"Selain itu penguatkuasaan juga perlu selalu dibuat agar perkara ini dapat dibendung segera," katanya.