SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM10.2 juta daripada lima syarikat korporat pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Lima syarikat berkenaan adalah Worldwide Holdings Berhad menyerahkan zakat sebanyak RM2.89 juta, Kumpulan SIRIM (RM2.34 juta), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) (RM2.32 juta), Rafulin Holdings Sdn Bhd (RM1.61 juta) dan Sime Darby Property Berhad (RM1 juta).

Kesemua syarikat itu menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2022 kecuali MBI untuk 2023.

Turut berkenan hadir ke majlis tersebut ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada majlis sama, Sultan Sharifuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 493 penerima di sekitar daerah Petaling meliputi 80 orang asnaf fakir, 301 orang asnaf miskin dan 112 orang asnaf mualaf.

Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM246,500.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM2.414 juta kepada JAIS bagi Sumbangan Ihya Ramadan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2023.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 417 masjid masing-masing akan menerima sumbangan sebanyak RM2,000, manakala 1,580 surau menerima sumbangan sebanyak RM1,000 bagi menggerakkan aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan ini.

-- BERNAMA