Bencana pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor tidak boleh disamakan dengan bencana banjir, tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Katanya, pengisytiharaan darurat bencana perlu dilakukan sekiranya keadaan di Pasir Gudang berada dalam situasi tidak terkawal berikutan musibah yang melanda Sungai Kim Kim itu.

"Bencana ini bukannya macam banjir di mana kita boleh bawa mangsa banjir ke dewan dan beri mereka bekalan makanan dan perlindungan.

"Bagi bencana ini, bahan beracun itu diterbangkan angin daripada sumbernya melalui udara dan ini sangat bahaya.



"Kita jangan pandang ringan dan saya tidak mahu peristiwa Bhopal di India berlaku di kawasan saya di Pasir Gudang, di tanah air kita," tegasnya apabila membahas usul tergempar di Dewan Rakyat berkenaan bencana Sungai Kim Kim hari ini.

Usul tergempar tersebut yang mula dibahaskan pada pukul 4:30 petang, akan bersambung pada Isnin pagi.