Suspek kes bunuh rakan sekerja di sebuah kolej kemahiran di Banting, semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek yang baru tiga bulan bekerja di kolej terbabit direman sehingga 18 Julai depan.

“Dalam kes ini suspek sendiri yang menelefon polis kata dia telah pun cekik dan telah mengakibatkan kematian pada si mati dan dia menyerah diri.

“Kita pun sudah tahu kerana provokasi yang melampau yang menyebabkan dia bertindak sedemikian, dia direman selama 7 hari,” katanya selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor antara Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf dengan Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini siang tadi.

BACA: Pembantu tadbir kolej vokasional maut dipercayai dibunuh rakan sekerja


Mazlan juga mengesahkan suspek mempunyai laporan perubatan berkaitan psikatri.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam suspek, berusia 28 tahun bertindak menikam dan mencekik seorang kerani wanita sehingga mati.

Mangsa seorang pembantu pejabat ditemui terbaring di stor pejabat kolej berkenaan akibat ditikam dengan pisau oleh suspek lelaki yang juga rakan sekerjanya.

Suspek yang juga pembantu makmal kolej itu dipercayai bertindak sedemikian kerana sering kali disindir mangsa.