Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan menghantar segala syor yang dikumpul dalam masa 100 hari ini kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejurus beliau pulang dari China, kata Tun Daim Zainuddin.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata syor yang terkumpul berkisar mengenai tiga isu utama iaitu keperluan memperbaik taraf pentadbiran, kehidupan dan kesejahteraan rakyat, serta memastikan ekonomi negara bersifat inklusif dan mampan.

Laporan pengesyoran itu, ujarnya lagi, diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dan terpulang kepada Perdana Menteri untuk mendedahkannya kepada orang awam ataupun tidak.

"Sepanjang 100 hari, Majlis telah bertemu lebih 350 individu dari lebih 200 organisasi seperti agensi penguat kuasa undang-undang, ahli perbankan, persatuan peniaga, dewan perniagaan, hinggalah ke golongan seperti kontraktor, pemandu teksi, peniaga jalanan, petani, artis, golongan kurang berkeupayaan, dan lain-lain lagi," katanya kepada sidang media di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Daim berkata kesemua syor majlis dibentuk oleh tiga tema utama iaitu keperluan menambah baik pentadbiran, kesejahteraan hidup rakyat, serta keperluan untuk memastikan ekonomi menjadi inklusif dan mampan.

"Kesemua syor ini termasuk langkah-langkah mengukuhkan kebebasan institusi utama Malaysia dan meningkatkan rangka kerja pentadbiran mereka dengan objektif, untuk menghentikan era gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang sekian lama menghantui negara.

"Semua permasalahan ini terjadi akibat kegagalan dalam pentadbiran institusi. Walaupun CEP sedar akan kelemahan dalam keadaan kewangan, serta tahap kelemahan urus tadbir dalam kerajaan serta agensi berkaitan, kami langsung tidak menyangka tahap keseriusan masalah ini.

"Tiada seorang pun di antara kami menyedari ia boleh menjadi sesuatu yang tersebar luas, dan sistemik," katanya lagi.


Buat masa ini, Daim berkata, perkhidmatan CEP sudah sampai waktunya, dan kesemua ahli majlis itu sudah kembali menjalankan tugas asal masing-masing.

Mengenai kemungkinan sama ada majlis itu akan diteruskan perkhidmatan, beliau berkata, CEP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan berkenaan hal itu.

"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas penghormatan dan mandat yang diberikan untuk membantu kerajaan membina masa depan yang lebih cemerlang untuk Malaysia Baharu, dan kami berterima kasih kepada rakyat di atas kesabaran mereka.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan, dan kami, sebagai rakyat, mempunyai harapan yang tinggi bahawa akan ada masa depan cemerlang untuk kita semua," katanya lagi.