Selepas tersebarnya laporan seorang artis dan pengacara wanita terkenal yang dikatakan mendapat peluang mengerjakan haji hanya selepas sebulan mendaftar, Tabung Haji (TH) hari ini tampil menafikan dakwaan itu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, TH memaklumkan, pihak mereka ada menerima rayuan daripada artis tersebut, namun selepas dipertimbangkan, rayuan itu tidak diluluskan.

"Jika ada visa haji yang diperolehi oleh artis tersebut, ia adalah tidak melalui TH."

TH turut menjelaskan, pihak mereka sentiasa telus dalam sistem penggiliran yang diamalkan.

"Semua rayuan untuk mengerjakan haji awal dari tarikh giliran yang ditentukan perlu melalui proses tapisan yang berperingkat serta mengikut kriteria yang telah ditetapkan," itu yang disebut dalam kenyataan berkenaan.

Keratan kenyataan akhbar Tabung Haji.

Pihak TH berharap orang ramai tidak berterusan menyebarkan cerita yang tidak tepat kerana ia boleh mengundang rasa tidak puas hati pendeposit TH.

Usaha Astro AWANI untuk menghubungi artis berkenaan bagaimanapun belum berhasil.