RALAT: Astro AWANI telah memperbetulkan satu kesilapan fakta dalam artikel berikut, yang sebelum ini menamakan 'Benjamin Bernard Bijion' sebagai 'Pengarah Jabatan Laut Sabah'. Kami memohon maaf atas kekeliruan yang mungkin timbul dan segala kesulitan amatlah dikesali.


TERLETAK kira-kira 58 kilometer (km) di Utara Kota Kinabalu, Kapal Karam Teluk Usukan ini melibatkan tiga buah kapal kargo Jepun yang musnah dek serangan dua buah kapal selam Amerika semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Kapal kargo ini bernama; Kokusei Maru, Higane Maru, dan Hiyori Maru.

Bagi kalangan orang tempatan, gelaran mesra bagi ketiga-tiga runtuhan kargo yang terdampar kira-kira 1km antara satu sama lain ini ialah; Rice Bowl Wreck, Upside Down Wreck, dan Usukan Wreck pada kedalaman kira-kira 25m-40m.

Dekad demi dekad berlalu, kapal karam ini antara destinasi wajib bagi penggemar aktiviti skuba sekitar Kota Kinabalu dan juga daerah Kota Belud.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan kapal karam ini menjadi tumpuan penyelam profesional untuk pengambaran laut dalam, penyelidikan marin untuk pendidikan dari institusi luar bahkan lokasi sekitarnya juga menjadi punca rezeki nelayan tempatan.

Pendek kata, ketiga-tiga runtuhan kapal kargo ini masih menyimpan rahsia tersendiri yang mana sebahagian besar hidupan marinnya masih belum dikenal pasti.

Lokasi kapal karam ini antara destinasi wajib bagi penggemar aktiviti skuba sekitar Kota Kinabalu dan juga daerah Kota Belud. - Sumber foto dirahsiakan

Apa yang pasti, pada 25 Januari lalu, melalui sebaran yang dikirim oleh rakan-rakan dari Sabah berkenaan salinan surat kelulusan projek kritikal yang diluluskan tanpa halangan oleh Jabatan Laut Sabah kepada Universiti Malaysia Sabah, telah memusnahkan hampir keseluruhan struktur kapal karam tersebut.

Dalam salinan surat bertarikh 5 Januari 2017, projek kritikal atas nama ‘penyelidikan’ ini diberi kepada syarikat kejuruteraan sivil berstatus enterprise dengan alamat pendaftaran syarikat bertempat di WP Labuan.

Spesifikasi kerja-kerja yang bermula 6 Januari sehingga 6 April 2017, yang mana melibatkan kerja-kerja salvaj pada titik lokasi yang ditetapkan.

Melalui akaun Twitter, Datuk Masidi Manjun selaku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah telah memberi jaminan bahawa Universiti Malaysia Sabah telah diarahkan untuk memberhentikan kerja-kerja salvaj buat sementara waktu dengan mendapatkan konsultasi daripada pelbagai pihak berkaitan.

Beberapa hari kemudian, Datuk Masidi dalam akaun Twitternya mengesahkan ‘penyelidikan’ oleh Universiti Malaysia Sabah telah ditarik balik oleh Jabatan Laut Sabah.

Beberapa penyelam skuba di lokasi Upside Down Wreck. - Sumber foto dirahsiakan

Masih belum tamat. Terlalu banyak persoalan menyentuh ‘penyelidikan’ ini sebagai sesuatu yang mencurigakan.

Sebagai institusi pendidikan, Universiti Malaysia Sabah yang terkenal sebagai pusat kajian marin seharusnya lebih tahu bagaimana industri aktiviti skuba menyumbang kepada negeri Sabah sebagai pusat pelancongan bagi pencinta hidupan marin.

Rekod menunjukkan selain perhutanan, aktiviti skuba antara penyumbang aktif kepada pendapatan industri pelancongan negeri Sabah; bahkan rekod juga tertulis pelancongan negeri Sabah antara penyumbang sebanyak 10-15% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara Malaysia.

Sebagai tambahan, titik-titik aktiviti skuba sekitar negeri Sabah merupakan antara titik kegemaran bagi aktiviti pengambaran laut dalam, kajian akademik dan ilmiah; pengendalian lesen skuba dan sebagainya telah menarik pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Selain itu, prosedur kelulusan bagi projek kritikal ini juga meragukan. Pada surat bertarikh 5 Januari 2017 oleh Jabatan Laut Sabah telah meluluskan 6 Januari 2017 sebagai tarikh awal kerja-kerja salvaj.

Bahkan Jabatan Laut Sabah di dalam surat tersebut telah mengguna pakai titik kerja penyelidikan sebagai ‘abandoned’.

Salah satu imej yang dirakam di lokasi Rice Bowl Wreck. - Sumber foto dirahsiakan

Sebagai pihak berkuasa laut negeri, sesuatu yang mustahil sekiranya mereka tidak mengetahui lokasi sekitar koordinat telah lama menjadi lokasi mencari rezeki oleh nelayan-nelayan daerah Kota Belud sejak dahulu lagi.

Status dan prosedur pemilihan syarikat ‘enterprise’ yang dipilih juga menjadi tanya tanya semua pihak.

Adakah syarikat yang berdaftar dibawah label kerja-kerja kejuruteraan sivil ini berpengalaman mengendalikan kerja-kerja dasar laut bagi tujuan akademik ataupun ‘kajian kimia’ seperti kenyataan rasmi Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah di dalam laman rasmi universiti tersebut?

Atas kapasiti universiti berpengalaman dalam kajian hidupan marin, adakah UMS telah menyediakan pelan kecemasan, pelan tindakan sekiranya benar terdapat kesan-kesan kimia yang memudaratkan?

Juga, sekiranya benar seperti dalam kenyataan rasminya, penyelidik UMS menemukan bahan bertoksik tinggi seberat 3, 000 tan kenapa tidak ada sebaran am bagi menghalang nelayan-nelayan, penduduk tempatan, pengusaha aktiviti skuba daripada menghampiri koordinat yang diluluskan? Kenapa? Soal serangan toksik bukanlah isu yang enteng, paling tidak ianya memudaratkan penduduk sekitar yang terlibat dengan aktiviti perikanan kecil-kecilan.

Gambarajah menunjukkan koordinat yang diluluskan untuk kerja-kerja salvaj dan penyelidikan. - Sumber imej dirahsiakan

Damage has been done. Melalui beberapa carian, titik kerja-kerja salvaj dan penyelidikan (gambar atas) ini juga telah tersasar daripada titik-titik yang diluluskan oleh pihak Jabatan Lautan.

Yang bertanda merah adalah koordinat yang diluluskan, manakala yang bertanda biru adalah lokasi kerja-kerja salvaj yang melibatkan ketiga-tiga runtuhan kapal kargo Teluk Usukan.

Melalui tinjauan terbaru (seperti dalam gambar), kerja-kerja ‘penyelidikan dan kajian’ ini telah memusnahkan keseluruhan struktur ketiga-tiga runtuhan kapal kargo tersebut.

Sehingga kini, masih ternanti-nanti tindakan Jabatan Laut Sabah dan juga universiti penyelidikan dan ilmiah Universiti Malaysia Sabah juga Naib Canselor yang bertanggungjawab, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah tampil untuk bertanggungjawab atas kemusnahan struktur ketiga-tiga kapal kargo ini selepas tampil dengan kenyataan bahawa; “kerja-kerja salvaj telah selesai sepenuhnya” pada 26 Januari 2017.

Mudah.

Terima kasih kepada Datuk Masidi Manjun selaku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah yang begitu prihatin, mengambil tindakan pantas, berkongsi perasaan kecewa yang sama. Terima kasih, Datuk.

Apa lagi yang tinggal? Sebuah kekecewaan dan persoalan besar, bagaimana sebuah institusi tinggi yang telah melatih ramai pengkaji juga ahli akademik hidupan marin bertindak semberono tanpa memikirkan implikasi kesan daripada kerja-kerja salvaj tersebut.

Apa lagi yang tinggal di lokasi Upside Down Wreck? - Sumber foto dirahsiakan

Permulaan 2017 yang mengecewakan. Satu demi satu khazanah alam anak negeri musnah di tangan manusia kejam. Terlalu banyak masa dan tenaga yang terbuang dalam meletakkan Sabah sebagai negeri yang memelihara dan memulihara hidupan laut marin sehingga meletakkan Sabah dalam prestij yang tersendiri.

Melihat kepada kemusnahan ketiga-tiga struktur kapal kargo karam ini; amat tepat untuk semua anak negeri membacakan talkin untuk Teluk Usukan. Semoga persoalan-persoalan yang mencurigakan ini akan terjawab; semua pihak belajar lebih dalam untuk menghargai alam, dan seluruh anak negeri mengambilali peranan perbetulbalik keadaan.



* Penulis artikel ini ialah Al Rashid Zulkefli, seorang penyelam skuba penyelamat yang juga aktivis alam marin dan dasar laut.

** Artikel di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.