Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali mengakui siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd terjejas akibat penahanan tiga pegawai SPRM pada Rabu.

"Seorang Pegawai Kanan dipanggil polis dan dibenarkan pulang ke pejabat sekitar 6 petang. Tapi dua lagi ditangkap polis untuk siasatan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

"Salah seorang daripadanya adalah pegawai penyiasat yang menyiasat kes SRC International.

"Penyiasatan kes masih diteruskan dan kita jalankan secara bebas, telus dan profesional," katanya ketika ditemui oleh media di Menara Prisma, di sini pada Rabu.


Beliau turut mengakui tindakan yang diambil ke atas pegawai penyiasat SPRM sedikit sebanyak menjejaskan proses siasatan.

"Saya sahkan mereka dipanggil ke IPD Putrajaya, bilik pejabat mereka digeledah dan dibuat pembongkaran, selepas itu dibawa ke rumah masing-masing," tambahnya.

Pada Rabu, tiga pegawai SPRM telah ditahan polis untuk membantu siasatan terhadap SRC International, yang dahulunya antara entiti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).