Adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra membuat laporan polis berkaitan satu fitnah yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman Facebook sejak beberapa hari yang lalu.

Difahamkan, kenyataan berunsur fitnah yang tersebar di laman Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) Version 0.2 itu mengatakan adinda Sultan Kelantan itu bukanlah puteri bongsu Sultan Ismail Petra bersama Tengku Anis Tengku Abdul Hamid malah pasangan diraja itu dikatakan hanya mempunyai tiga orang putera sahaja.

Bertindak atas fitnah yang bertujuan memalukan Tengku Amalin, sepupu baginda, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz bersama peguamnya, Majidah Muhamad membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada 11.58 pagi semalam supaya siasatan dilakukan.

Sementara itu, Majidah yang mewakili Tengku Amalin A'ishah berkata, laporan polis itu dilakukan bertujuan supaya fitnah berkenaan dihentikan dan siasatan rapi dijalankan oleh pihak polis.

Beliau berkata kenyataan yang dimuat naik itu ternyata berunsur fitnah dan memalukan puteri bongsu yang bergelar Tengku Maharani Putri Kelantan.

"Daripada laman grup IRDK Version 0.2 itu ada dua individu yang membuat kenyataan iaitu pengguna Facebook bernama 'Shaiful Afzan' dan 'Mekllis Nor Liss'.

"Antara kenyataan yang dikeluarkan termasuklah mengatakan puteri bongsu itu hanyalah anak angkat dan berasal dari kampung.

"Kami berharap siasatan lanjut dilakukan terhadap dua individu berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan yang jelas menimbulkan fitnah," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

-- BERNAMA